Pelakon popular 90-an, Noralbaniah akui terkejut selepas mendapat tahu mengenai berita anak tunggalnya, Syarra Sudarman ditahan akibat penyalahgunaan dadah sebelum ini.
Menurut Noralbaniah atau nama sebenar Nor Albaniah Raffie, episod hitam yang menimpa anaknya itu adalah ujian terbesar buatnya sebagai ibu.
ARTIKEL MENARIK:“Bibik Saya Sanggup Terjun Tembok Ada Kawat Duri Hanya Kerana Lelaki!” – Cik B Terkilan Bibik Lari
“Mana ada ibu bapa yang mahukan anaknya menjadi sebegitu. Benda itu berlaku tanpa saya duga.
“Apapun yang terjadi, saya terima dan reda. Mungkin apa yang berlaku hari ini akan menjadikan seseorang itu lebih baik di kemudian hari,” katanya.
Katanya lagi, dia hanya tahu mengenai berita penangkapan anaknya selepas dihubungi wartawan.
“Saya hanya dapat tahu berita penangkapan Syarra melalui wartawan. Bayangkan perasaan saya ketika itu, terduduk dan terkejut bila dapat tahu mengenainya,” ujarnya.
Noralbaniah ditemui ketika majlis tayangan filem Vik2ria Secret arahan AR Badul, TGV Suria, KLCC pada malam Selasa.
Mengulas perkembangan Syarra ketika ini, kata Noralbaniah, anak tunggalnya itu sudah keluar dari penjara pada Mac lalu dan kini dalam keadaan baik.
“Alhamdulillah, saya juga pergi melawatnya di Melaka dan kerana berkelakuan baik, dia dibenarkan keluar awal dari penjara pada Mac lalu.
“Saya berasa sedih bila semua ini terjadi kerana Syarra juga berpendidikan tinggi dan lulusan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL),” katanya.
Dalam laporan terdahulu, Syarra juga mengaku bersalah atas dua pertuduhan berkaitan dadah dan dikenakan hukuman penjara 13 bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Majistret Saiful Sayoti turut mengarahkan tertuduh menjalani tempoh pengawasan selama tiga tahun.
Bagi pertuduhan pertama, Syarra didapati memiliki dua paket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis syabu seberat 1.72 gram di sebuah hotel di Kuala Pilah jam 11.45 pagi pada 12 Oktober tahun lalu.
Atas kesalahan itu, Syarra dikenakan hukuman penjara lapan bulan bermula tarikh ditahan.
Pertuduhan kedua pula apabila didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memberikan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine kepada diri sendiri di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah jam 3 petang pada tarikh sama.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama lima bulan bagi kesalahan berkenaan.
Untuk rekod, Syarra adalah anak tunggal Noralbaniah menerusi hasil perkongsian bersama bekas pelumba kereta, Allahyarham Sudarman yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 10 Jun 1996. – BOOM!
Sumber: HARIAN METRO
Kredit - Boom! Malaysia.
Post a Comment