Komposer Fauzi Marzuki enggan mengulas sebarang kenyataan berhubung berita perkahwinan yang melibatkan bekas isterinya, Hashiimah Ramli, 53, dengan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“No, komen. Perkahwinan dia dengan Datuk Seri Najib, tiada kena mengena dengan saya. Lagipun, selepas kami bercerai pada 2013, dia (Hashimah) bebas untuk berkahwin dengan siapa pun yang menjadi pilihan dia.
ARTIKEL MENARIK:Isu Kahwin Bekas Isteri Dgn Najib, Komposer Terkenal Fauzi Marzuki Tampil Beri Reaksi Berikut
“Saya sendiri tidak tahu kenapa media cari saya tentang perkahwinan dia. Saya tiada kaitan dalam hal ini,” katanya sewaktu dihubungi Getaran.
Menurut Fauzi lagi, dia juga sebenarnya tidak tahu-menahu dengan perkahwinan bekas isterinya itu dengan Najib, sehinggalah dimaklumkan sendiri oleh orang lain.
Getaran juga difahamkan Hashiimah dan Najib sudah lama berkahwin iaitu sejak lebih setahun lalu.
“Saya tiada apa nak komen. Saya sendiri tidak tahu kenapa media cari saya tentang perkahwinan dia. Saya tiada kaitan dalam hal ini,” katanya lagi.
Fauzi dan Hashiimah berkahwin pada 1993 dan bercer4i pada 2013.
Seorang komposer yang hebat dan berkaliber, Fauzi telah menghasilkan banyak lagu-lagu hit untuk penyanyi rakaman terkemuka tanah air seperti Datuk Jamal Abdillah, Datuk Sheila Majid, Datuk Sharifah Aini, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Nash, Anita Sarawak, Ella, Shima dan Francesca Peters.
Fauzi Marzuki
Pencipta lagu hebat untuk karya lagu seperti ‘Lagenda’ (Datuk Sheila Majid), ‘Kekasih Awal & Akhir’ (Datuk Jamal Abdillah), ‘Pada Syurga Di Wajahmu’ (Datuk Nash Lefthanded), ‘Sepi Sekuntum Mawar Merah’ (Ella), ‘Pusara DI Lebuhraya’ (Ekamatra), ‘Di Alam Fana Cinta’ (Fotograf), ‘Usang’ (Rahim Maarof) dan ‘Jejaka Idaman’ (Raja Ema).
Masih mengikuti perkembangan penghasilan lagu-lagu yang dihasilkan penulis-penulis lagu baharu, Fauzi Marzuki tidak bersetuju jika ada yang menganggap lagu sekarang tidak sedap jika dibandingkan dengan lagu zaman dahulu.
“Lagu sekarang ada juga yang sedap cuma ia tidak dapat bertahan lama dan ia mempunyai banyak sebab.
“Dulu-dulu semua lagu harus melalui RTM. Sebelum masuk RTM, Artiste & Repertoire (A&R) dalam sesebuah syarikat rakaman akan memilih siapa artis yang layak menjadi penyanyi rakaman, lagu apa yang sesuai untuk dia dan bagaimana cara nak memasarkan artis tersebut.
“A&R akan bentangkan idea ini kepada team promosi dan pemasaran di dalam syarikat rakaman dan mereka kemudian akan melaksanakan tugas mereka mengikut bajet yang dibentangkan,” katanya.
Menurut Fauzi Marzuki lagi, dia masih ingat sewaktu dia bertugas sebagai A&R di syarikat rakaman EMI dan waktu itu, mereka di dalam proses meluncurkan album Sudirman pada bulan Ogos.
“Kita buat mesyuarat dengan Sudirman. Kita fikir dan bincang konsep apa yang sesuai untuknya. Kita selitkan lagu merdeka sebab ia kena dengan jiwa dan keperibadian dia. Setiap lagu kita pilih betul-betul. Kena atau tidak dengan konsep albumnya.
“Kemudian kita fikir pula akan kesesuaian melodi setiap lagu. Tinggi rendahnya. Sesuai atau tidak dengan Sudirman. Kita tanya dia okey ke tidak. Kalau okey, baru kita rakam dan lagu-lagu di dalam album itu pasti akan dimainkan di RTM.
“Bukan lagu yang sama kita berikan pada semua stesen radio. Kita lihat sasaran penonton setiap radio dan berikan lagu yang sesuai dengan sasaran pendengarnya.
“Namun, zaman sudah berubah. Corak kerja seperti itu sudah tidak dipraktikkan lagi. Disebabkan itu, sudah tiada lagi kawalan kualiti (quality control) untuk sesebuah lagu rakaman yang dihasilkan untuk penyanyi rakaman,” katanya.
Menurut Fauzi lagi, penyanyi generasi baharu pula lebih suka gunakan khidmat rakan-rakan mereka untuk buat lagu.
“Mereka sesama mereka berbincang dan tiada ada kawalan kualiti lagu itu okey atau tidak okey, sedap atau tidak, sesuai atau tidak.
“Perubahan zaman juga menyebabkan radio tidak lagi mempunyai kuasa untuk menjadikan sebuah lagu itu hit.
“Sekarang ini, kalau mahukan lagu itu jadi hit, campak sahaja lagu itu di media sosial terutama di YouTube. Lagu-lagu yang dimainkan di YouTube, hanya didengar dalam kalangan kelompok pendengar usia muda yang sebegitu sahaja.
“Ia tidak sampai secara menyeluruh kepada semua pendengar. Jadi, bila kelompok pendengar ini berusia 40-an nanti, lagu itu tidak akan jadi nostalgia kepada pendengar generasi muda selepas mereka. Bila tidak jadi nostalgia, ia tidak akan jadi evergreen,” katanya.
Fauzi Marzuki Bersama Anak Perempuan
Sentuhan ‘magis’ , lagu raya diputar empat dekad, Jom kenali siapa sebenarnya Fauzi Marzuki
” Segalanya bermula ketika usia saya 14 tahun pada 1969..”
Demikian kata-kata komposer, Fauzi Marzuki yang menceritakan pengalamannya lebih 40 tahun dalam muzik sehingga mengangkat beliau antara penggubah lagu tersohor tanah air.
Lagu ciptaan Fauzi Marzuki, 67, dianggap karya malar segar dan menjadi siulan termasuk pada musim perayaan.
Lagu ciptaan anak kelahiran Perak itu, Selamat Berhari Raya nyanyian Rahimah Rahim sentiasa berkumandang di corong radio setiap kali menjelang lebaran sejak empat dekad lalu.
Muzik Jalanan berkongsi artikel yang ditulis Afix Redzuan menerusi portal Selangorkini tentang suka duka di sebalik penciptaan lagu raya itu dan perjalanan seni Fauzi di kediamannya di Gombak pada 29 Mac.
Bagaimana tercetus idea hasilkan lagu raya nyanyian Rahimah Rahim yang rancak dan menjadi siulan sehingga kini?
Bila bercakap mengenai lagu raya, saya mesti fikir suasana gembira, orang bandar pulang ke desa. Bukannya orang kampung pergi ke bandar.
Kalau mahu buat sesebuah lagu, mesti sesuai dengan latar, ringkas dan mudah dimainkan oleh kugiran kenduri kahwin serta bersifat kemelayuan. Kita juga perlu fikirkan lagu berkenaan sebagai satu filem pendek.
Untuk lagu Selamat Berhari Raya, saya petik gitar sekejap sahaja. Sekitar 10 hingga 15 minit. Ketika itu tiada lirik, hanya buat melodi.
Dalam fikiran saya ketika itu memang mahu buat lagu raya dan saya tahu lagu ini akan diberi kepada Rahimah Rahim. Sebenarnya lagu itu bersifat 60-an.
Tetapi pengenalan petikan gitar lagu itu saya kaji daripada lagu Suasana Hari Raya nyanyian Anuar Zain dan Ellina. Kali terakhir saya buat lagu raya sekitar tujuh tahun lalu nyanyian Ayai (Ilusi), tajuknya Ku Pulang Setiap Raya.
Sejak bila tercetus minat terhadap muzik?
Segalanya bermula ketika usia saya 14 tahun pada 1969. Ketika itu, saya minat main gitar dan kumpul duit belanja sekolah untuk beli gitar kapuk. Harganya RM24.
Saya berjaya kumpul RM12 dan bapa saya tambah wang. Di situ minat terhadap muzik makin mendalam. Saya mula main muzik bersama kugiran dalam majlis kenduri kahwin.
Sejak itu saya cuba perbaiki bakat dengan bermain dengan pelbagai kugiran lain sehinggalah belajar di universiti. Di universiti, saya belajar diploma kejuruteraan elektrik.
Tapi apabila pada tahun ketiga pengajian saya fikir kalau kerja masa itu gaji sekitar RM700 lebih tapi bermain muzik gaji lebih banyak.
Siang saya belajar, malam saya bermain muzik di Kelab Tropicana, Jalan Ipoh dengan kawan. Ketika itu, gaji bermain muzik sekitar RM800.
Akhirnya, saya masuk kugiran Discovery. Discovery merupakan kugiran terbaik yang saya sertai. Kami salah satu kugiran yang tandatangani kontrak bersama syarikat rakaman EMI pada 1975.
Kugiran kami bersaing dengan Black Dog Bone. Mereka (Black Dog Bone) di Singapura dan kami (Discovery) di Kuala Lumpur.
Tetapi apabila siap album, Black Dog Bone lebih menyerlah. Walau begitu, pemuzik-pemuzik dalam Discovery semuanya bagus.
Meski tidak berjaya dalam kumpulan tetapi karier individu meningkat. Semua menjadi penerbit album. Tetapi saya lebih kepada penerbit, komposer dan pengurus artis.
Sebagai pengurus artis antara yang diuruskan adalah Sharifah Aini, Sudirman, Noor Kumalasari dan Anita Sarawak.
Secara tidak langsung, ia peluang buat lagu untuk artis bawah saya. Saya juga bekerjasama dengan komposer luar seperti A Ali.
Pada orang luar saya komposer tetapi asalnya saya pengurus artis dan pemuzik yang minat meningkatkan muzik ke tahap lebih baik berdasarkan apa yang didengar pada masa itu.
Album artis pertama dihasilkan?
Sebelum sertai EMI, saya terlibat dalam album pertama Yusni Hamid. Masa itu, dia minta saya terbitkan albumnya yang mempunyai 10 lagu dan saya buat. Antaranya lagu Ku Tak Mengerti dan Aku Rindu.
Pada masa sama, saya turut bekerja di studio rakaman Sun Recorders. Saya juga jadi pembantu jurutera rakaman. Selepas album Yusni Hamid, Warner Music minta saya terbitkan album Blues Gang.
Sejak itu, saya buat pelbagai album. Antaranya Jamal Abdillah (Kekasih Awal dan Akhir), Shima (Teringin) dan Ella (Sepi Sekuntum Mawar Merah).
Setiap album yang dibuat dapat sambutan dan setiap lagu menjadi ‘hit’. Daripada situ semua minta buat lagu. Kerjaya saya berkembang sehinggalah 2005 yang ketika itu saya buat album Mawi, Kian.
Bercakap mengenai AJL, boleh cerita mengenai lagu Pada Syurga di Wajahmu yang menang AJL 1992?
Lagu itu menang lima daripada lapan anugerah dalam dua pertandingan iaitu AJL dan Konsert Pujaan 10 Nescafe pada 1992.
Sebenarnya saya dipaksa oleh Jay Jay (Carefree) untuk buat lagu itu di King Studio sekitar 1991. Dia sebagai penerbit album Nash masa itu.
Jadi, saya minta gitar dan suruh dia rakam. Ketika itu, saya memang tidak ada lagu langsung dalam kepala. Saya rakam lagu itu dalam lima minit. Selepas itu dengar semula dengan harapan ada bahagian yang perlu dibaiki tetapi semuanya elok.
Maka begitulah terhasilnya lagu berkenaan. Tidak ada perubahan. Lirik lagu dihasilkan Bob Lokman.
Sebenarnya, Jay Jay sudah lama minta buat lagu tapi tertangguh sebab tugas lain. Kebetulan, saya datang studio ketika itu dan dia paksa saya buat lagu itu.
Seperti saya katakan sebelum ini, kalau mahu hasilkan lagu saya akan minta bayaran tetapi dalam situasi itu lagu berkenaan akan dinyanyikan Nash. Kalau Nash yang nyanyi, lagu pasti meletup.
Jadi, saya tidak perlu risau tentang bayaran ketika itu kerana saya masih dapat royalti akhirnya. Nasib baik lagu itu menjadi dan Jay Jay melakukan tugasnya dengan baik.
Pernah ada pengalaman ditipu atau tidak mendapat royalti sepanjang menceburi bidang seni?
Tiada, sebab saya akan pastikan semua kontrak betul dan lengkap. Sehingga hari ini masih dapat royalti lagu. Sejak dua tahun lalu susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya tidak terlalu bekerja.
Petikan gitar Fauzi Marzuki membuahkan ‘emas’ sepanjang 40 tahun bergiat aktif dalam bidang seni sekali gus mengangkat namanya sebagai penggubah tersohor. Foto diambil ketika temu bualnya bersama Media Selangor di kediamannya di Gombak pada 29 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
Bagaimana kehidupan sepanjang PKP?
Kesan PKP sejak dua tahun lepas hampir 2/3 pendapatan saya merosot kerana royalti tidak dapat dibayar pihak bertanggungjawab.
Pendapatan mereka juga terjejas maka mereka juga tidak boleh bayar royalti.
Pendapatan royalti 2019 dan 2020 turun. Saya bernasib baik sebab jenama ‘Fauzi Marzuki’ itu saya dapat satu projek yang membolehkan saya hidup dua tahun.
Kita juga kena jaga nama sendiri dan bina reputasi yang baik supaya terus bertahan dan tidak cepat jatuh.
Fenomena muzik ‘rock kapak’ masih menjadi pilihan pendengar. Kenapa ia kekal popular? Adakah lagu konsep ‘jiwang’ sesuai sekarang?
Saya rasa ‘rock kapak’ menjadi fenomena kerana ia selari dengan keupayaan pendengar. Apabila lagu itu mudah, ringkas dan boleh kaitkan dengan kehidupan seperti main muzik.
Lagu yang ringkas misalnya membantu mereka memetik gitar kerana mudah mencari ‘chord’ dan bermain secara berkumpulan. Kalau kita tengok lagu sekarang, mungkin susah untuk pendengar petik gitar berbanding lagu dahulu.
Sama ada lagu konsep ‘jiwang’ masih sesuai pada masa kini itu kita perlu kaji. Sebagai penggiat muzik, kita perlu kaji apa peminat mahu dan tahap penerimaan mereka.
Kita tidak boleh sogok muzik yang kita sahaja rasa bagus. Apa yang kita rasa bagus, belum tentu bagus pada pendengar. Boleh jadi mereka tidak faham apa yang kita cuba sampaikan.
Lagu sekarang tidak menjadi fenomena. Contoh lagu Isabella, kalau dinyanyikan Datuk M Nasir, semua orang boleh ikut.
Apabila kita buat lagu perlu fikir bagaimana mahu hiburkan pendengar. Ketika buat lagu, saya sentiasa fikir bahagian yang boleh dinyanyikan bersama. Lagu bagus mesti mudah dan bukan menyusahkan.
Fauzi Marzuki menunjukkan koleksi trofi Anugerah Industri Muzik (AIM) yang pernah diraih sepanjang 40 tahun bergiat aktif dalam bidang seni. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
Sumber:selangorkini
viaApa kata anda? Kongsikan bersama kami
Post a Comment