JERANTUT – Kebimbangan terus disuarakan kira-kira 300 penduduk Kampung Pagi dekat Ulu Tembeling di sini, ekoran jalan utama di kampung mereka semakin mendap sehingga mengundang risiko kemalangan dan kehilangan nyawa.
Seorang penduduk, Mi Hamidi Nipah, 54, berkata, keadaan permukaan jalan tar yang pecah dan semakin mendap yang berlaku selepas musim tengkujuh tahun lalu itu turut memberi kesukaran kepada orang ramai untuk berulang-alik ke bandar.
ARTIKEL MENARIK:Polis Terima Dua Laporan Berhubung Ugutan Diterima Pelakon Dan Kru Mentega Terbang
“Kerosakan berlaku berhampiran jambatan kecil Sungai Pengau menyebabkan banyak kawasan berlekuk dan pecah yang mengundang bahaya kepada penunggang motosikal dan kereta.
“Apa yang dibimbangi ialah jalan itu merupakan laluan utama penduduk, lebih-lebih lagi menjelang sesi pembukaan persekolahan minggu depan dan bulan Ramadan yang semakin hampir,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurut Mi Hamid, keadaan jalan yang rosak teruk itu didakwa berlaku akibat hujan lebat sejak awal tahun ini menyebabkan wujud takungan air.
Seorang lagi penduduk, Mustapa Abdullah, 25, berkata, keadaan jalan yang rosak itu menimbulkan kesukaran kepada pengguna terutama pada waktu puncak sehingga kerap kali berlakunya kemalangan kecil.
“Tolong baiki segera laluan ini yang menjadi penghubung bagi penduduk untuk menghantar anak ke sekolah rendah berdekatan dan ke Kuala Tahan serta ke bandar Jerantut,” katanya.
Bagi Ahmad Ismail, 58, pula, selain takungan air ketika hujan lebat di laluan tersebut, punca berlakunya jalan rosak adalah disebabkan laluan itu turut digunakan oleh kenderaan berat.
“Boleh dikatakan setiap hari, jalan di kampung kami termasuk jalan utama dari Mat Daling-Kuala Sat ke Kampung Tuit Kuala Tahan dilalui lori untuk memunggah kayu balak ke kilang,” katanya.
Kredit -Kosmo Digital.
Post a Comment