PELAWAK Ali Puteh terkejut apabila menerima surat dari mahkamah memaklumkan kediaman milik Allahyarham ibunya iaitu Sabariah Arshad di Batu 10 Gombak, Selangor bakal disita.
Ia berikutan kegagalannya melunaskan pembayaran ganti rugi sebanyak RM60,000 yang diperintahkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum ini kepada balu Allahyarham Abam iaitu Nor Hidayah Mohd Ali.
ARTIKEL MENARIK:“Kes Antara Saya Dengan Balu, Kenapa Kaitkan Dengan Harta Mak?” – Ali Puteh Kecewa Rumah Ibu Bakal Disita
Ali atau Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan, 34, berkata, dia bukannya enggan membuat pembayaran tersebut tetapi sumber kewangannya terjejas sejak berlaku kemelut melibatkan dia dan balu arwah abangnya itu.
Ali terkejut rumah arwah ibu bakal disita.
“Ya memang belum buat pembayaran sebab kes ini pendapatan saya sudah tidak seperti dahulu. Kerja dah tak ada… bukan saya nak tolak membayar RM60,000 itu, saya akan bayar cuma saya tak boleh nak ‘campak’ sekali gus.
“Saya pun ada tanggungan dengan kerja yang tak ada langsung. Mungkin saya cuba bayar secara ansuran.
“Saya pun terkejut apabila dapat panggilan dari bapa saudara mengatakan rumah peninggalan arwah mak saya di Batu 10, Gombak mahkamah keluar perintah untuk menyita,” katanya.
Ali mendedahkan perkara itu menerusi temu bual bersama program Melodi yang bersiaran pada Ahad.
Dalam pada itu, Ali memberitahu berasa pelik mengapa harta peninggalan ibunya dijadikan cagaran untuk di sita memandangkan kes melibatkan dia dan Nor Hidayah tiada kena mengena dengan orang lain.
Jelas Ali, rumah peninggalan tersebut bukan di atas namanya dan menyifatkan perkara itu tidak sepatutnya terjadi.
“Saya pelik, ini harta arwah mak saya kenapa pula dijadikan cagaran atau pun sita… Kes RM60,000 antara saya dengan balu arwah abang saya tapi pelik kenapa harta arwah saya dicampur-aduk dalam kes itu.
“Rumah itu atas nama arwah mak bukan saya. Mana hati budi seseorang? Saya ada anak kecil dengan surat sitaan mahkamah yang bercop, perkara ini tidak sepatutnya terjadi.
“Saya tekankan, kes ini berlainan, kes saya dengan balu lain, kes faraid lain. Tak sama,” jelasnya.
Hidayah bersama arwah Abam.
Ali berkata, dia tidak takut dengan apa yang berlaku namun memilih berdiam diri kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.
“Saya diam bukan sebab saya takut tapi tak nak keruhkan keadaan lagi. Cukup orang maki hamun saya bertahun-tahun. Sebab bila keluar mahkamah kalah cakap apa pun tak akan betul.
“Saya minta jasa baik keluarga balu berhenti video fitnah, kalau awak perlukan RM60,000 untuk saya bayar. Insya Allah selagi ada daya ada rezeki saya cuba bayar. Tak payah nak tunjuk siapa yang betul lagi dah buat masa ini,” ujarnya.
VIDEO:
Kemelut Ali dan Hidayah masih belum bertemu titik noktah.
Sebelum ini, Nor Hidayah mengemukakan saman terhadap Ali atas dakwaan perkongsian pelawak itu di laman sosial yang didakwa menjatuhkan maruahnya.
Antara perkongsian tersebut adalah menggambarkan Nor Hidayah seorang isteri yang jahat serta tamakkan harta pusaka suaminya.
Pada 18 Februari tahun lalu, Hidayah memenangi saman fitnah terhadap Ali dan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan pelawak itu membayar ganti rugi sebanyak RM60,000.
Sumber : MSTAR ONLINE
Kredit -
Post a Comment