KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengacara, Nadya Syahera mendedahkan pernah menjadi seperti mayat hidup selama dua minggu gara-gara terkena gangguan sihir daripada pembantu rumah sendiri.
Katanya, pengalaman getir awal tahun lalu itu hanya disedari sepupu yang tinggal di rumahnya selepas melihat keadaan tidak menentu dia sekeluarga sebaik wanita usia lingkungan 50-an itu mula bekerja di situ.
ARTIKEL MENARIK:Tertekan Diabai Suami, Bekas Isteri Cliff Umar Pernah Terdetik Bawa Anak-anak Terjun Sungai
Cerita Nadya, 29, kejadian tersebut berlaku ketika dia hamil anak ketiga pada usia kandungan memasuki trimester pertama dan memerlukannya mengambil pembantu bagi menjaga dua lagi anaknya.
“Jika tiada bukti saya tidak akan membuat tuduhan melulu. Mujur dia hanya sempat bersama kami dalam tempoh setengah bulan, itu pun macam-macam tanda ahli keluarga saya nampak.
“Cuma saya dan suami tak syak apa-apa biarpun pernah terjumpa cecair seperti minyak dicurahkan di penjuru bilik air di dalam bilik tidur kami, bulu burung dan sebagainya.
“Sepanjang dua minggu dia di rumah kami, jadi bodoh macam tak ingat apa-apa sampai satu tahap saya terlantar macam mayat hidup tapi doktor sahkan tiada penyakit hingga kemudian terpaksa panggil ustaz,” katanya.
Kejadian tersebut menyebabkan pelakon drama Dia Semanis Honey itu yang melahirkan anak ketiga pada Ogos tahun lalu trauma untuk mengambil pengasuh lain.
Disebabkan itu, Nadya sanggup berehat seketika dari arena seni bagi memberi tumpuan terhadap si kecil memandangkan suaminya, Mohd. Hafizul Md. Nawi kerap ke luar daerah atas urusan perniagaan.
“Ikutkan setahun saya tak ambil apa-apa tawaran berlakon sebab tiada pengasuh. Sepanjang tempoh itu memang rindu nak kembali ke set tetapi saya simpan hasrat itu sampailah sekarang apabila anak ketiga sudah cecah usia 10 bulan.
“Kalau nak berlakon untuk tempoh sekejap dan lokasi pula di sekitar sini (ibu kota) boleh saja, begitu juga kerja pengacaraan. Tiada masalah kalau tak ambil masa panjang.
“Cuma untuk ambil pembantu rumah baharu jaga anak-anak bagi membolehkan saya keluar bekerja, mungkin tidak. Saya masih trauma,” luahnya kepada Kosmo! Online pada majlis pelantikannya sebagai duta rangkaian produk penjagaan kulit Nano Cosmetics, baru-baru ini.
Bercerita lagi mengenai situasi dilalui keluarga kecilnya, selepas memberhentikan pembantu rumah, mereka terpaksa tinggal sementara di gudang kerana dia masih ternampak kelibat wanita itu di rumahnya.
Malah tidak mahu terus berdepan gangguan dan ditakuti menjejaskan mentalnya yang turut melalui episod tekanan, mereka mengambil keputusan berpindah ke kediaman lain.
Terdahulu, rumah tangga Nadya bersama Hafizul yang didirikan pada 2015 diserikan dengan kehadiran tiga cahaya mata iaitu Aleena Rose, 7, Mohamad Dayyan, 6, dan Muhammad Barr Adam, 10 bulan. – KOSMO! ONLINE
Kredit -
Post a Comment