Kuala Lumpur: Seramai enam anggota polis termasuk dua pegawai kanan berpangkat Asisten Superintendan ditahan selepas melarikan wang tunai berjumlah RM1.6 juta milik warga China ketika melakukan serbuan di sebuah rumah di Jinjang, pada 12 November lalu.
Menurut sumber, semuanya bermula apabila pasukan daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial dari salah satu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di ibu kota itu mendapat maklumat berkaitan kes penipuan sebelum mereka melakukan serbuan di premis berkenaan.
ARTIKEL MENARIK:“Rakyat sedang susah, lapar dan sakit” – Syed Saddiq Tak Setuju Cadangan ‘Hidupkan’ Semula PLKN
"Ketika serbuan dilakukan pasukan polis itu menemui wang tunai sebelum merampasnya daripada warga China terbabit. Mereka melakukannya seperti serbuan biasa namun rampasan wang tunai RM1.6 juta itu tidak dilaporkan.
"Malah, warga China terbabit juga tidak ditahan dan pasukan polis terbabit dipercayai melarikan wang tunai milik mangsa," katanya.
Sumber memberitahu, mangsa iaitu warga China terbabit yang mula mengesyaki dan tidak berpuas hati dengan perkara itu kemudiannya tampil membuat laporan polis, Selasa lalu.
Mengulas lanjut, susulan laporan dibuat mangsa, satu pasukan khas dari Cawangan Jenayah Berat (D9), Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur mula melakukan operasi khas dengan menahan anggota dan pegawai berkenaan.
"Beberapa siri serbuan dilakukan, polis berjaya menahan seorang pegawai kanan berpangkat Asisten Superintendan dipercayai ketua serbuan berkenaan dan beberapa anggota lain-lain pangkat.
"Polis juga menemui sebahagian wang tunai yang dilarikan pegawai dan anggota berkenaan di rumah masing-masing. Namun, jumlah penemuan semula wang yang dilarikan itu dilaporkan hanya RM500,000," katanya.
Katanya, polis kini sedang mengesan saki-baki wang tunai yang dilarikan kumpulan polis terbabit.
"Semua anggota dan pegawai berkenaan kini masih ditahan bagi membantu siasatan," katanya.
Sementera itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan berhubung kejadian sedang dijalankan.
Kredit - hmetro
Post a Comment