Bekas Pengadil Ini Dedahkan Sebab Sebab Kenapa Perak Harus Ditarik Balik Kejuaraan Piala Malaysia
Bekas Pengadil Ini Dedahkan Sebab Sebab Kenapa Perak Harus Ditarik Balik Kejuaraan Piala Malaysia |
KUALA LUMPUR: Adakah kejayaan Perak menjulang Piala Malaysia Sabtu lalu sah atau dibantu mutu pengadilan yang lemah?
Itu yang mencetuskan persoalan selepas penjaga gol Perak Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy melakukan kesalahan apabila tidak berada di atas garisan gol sebelum bola disepak oleh pemain Terengganu FC pada penentuan sepakan penalti di Stadium Shah Alam.
ARTIKEL MENARIK: ‘Pengadil final Piala Malaysia hari ini teruk’- Ini kritikan padu TMJ
Bagi bekas pengadil berpengalaman negara yang enggan namanya didedahkan mengakui bahawa pengadil perlawanan Suresh Jayaranam melakukan kesilapan kerana tidak menghukum Hafizul Hakim.
“Mengikut peraturan, Hafizul Hakim perlu berada di atas garisan gol sebelum bola bergerak atau disepak oleh pemain Terengganu.
Jika dia tidak berada di atas garisan gol dan bergerak lebih awal, pengadil seharusnya mengarahkan sepakan semula dibuat dan melayangkan kad kuning kepada penjaga gol itu. Dan jika dua kali dia melakukan kesalahan sama, dia patut dilayangkan kad merah.
“Tapi ternyata pengadil perlawanan pada malam itu gagal melaksanakan peraturan yang ditetapkan dan ini memberikan keuntungan kepada Perak dan memberikan kerugian kepada Terengganu.
“Apatah lagi dua gol sepakan penalti yang gagal disempurnakan pemain Terengganu itu adalah ketika Hafizul Hakim tidak berada di atas garisan gol. Bila dia tidak berada di atas garisan gol, ini akan memberi kelebihan kepadanya dari segi jarak dan masa untuk bertindak balas kepada bola lebih lama,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.
Dalam perlawanan penuh kontroversi dan dramatik itu, Perak berjaya bangkit mengikat Terengganu 3-3 untuk mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti sebelum menang 4-1 bagi menamatkan penantian 18 tahun menjulang trofi berprestij itu.
Sebelum ini ada beberapa insiden di mana penjaga gol berada di dalam gol dan tidak berada di atas garisan tetapi tidak dibantah oleh pengadil.
Antaranya adalah penjaga gol Liverpool, Jerzy Dudek ketika final Liga Juara-Juara 2005 menentang AC Milan dan penjaga gol Iran, Ali Beiranvand dalam aksi Piala Dunia 2018 Kumpulan B menentang Portugal.
“Jangan bandingkan dengan perlawanan lain, pengadil perlu objektif. Pengadil perlu tahu apa yang sudah ditetapkan dalam peraturan. Peraturan ini adalah untuk pengadil laksanakan,” kata bekas pengadil itu yang pernah mengadili beberapa perlawanan akhir Liga Malaysia.
Bagaimanapun beliau turut mengakui bahawa Suresh juga melakukan kesilapan kerana tidak membenarkan gol pemain import Perak, Leandro dos Santos pada minit ke-31 kerana didakwa mengasari penjaga gol.
“Pemain Perak itu tidak melakukan kesalahan, gol seharusnya diberikan kepada Perak, dan jika gol itu dibenarkan mungkin perlawanan tidak perlu ditentukan menerusi sepakan penalti,” katanya.
SUMBER : BHARIAN ONLINE
Post a Comment