“ARWAH sempat membeli petai dan meminta saya menyerahkan kepada ibunya kerana dia ingin singgah bersarapan terlebih dahulu, sementara saya terus pulang ke rumah selepas selesai kerja di kilang,”
Petai terakhir untuk ibu |
Begitu kata Mohd Zuhairi Abdul Rahim, 23, rakan kepada Mohamad Alif Shazwan Mat Arif, 21, yang maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan lori pasir di jalan Kulim-Mahang berhampiran Dublin, Kulim, hari ini.
ARTIKEL MENARIK: Tak sampai seminggu dibuka, dah ada tangan gatal buat graffiti di Rawang Bypass
loading...
Dalam kemalangan 9.15 pagi itu, mangsa yang tinggal di Kampung Tengah Bukit Bertam, Selama, maut di tempat kejadian selepas parah di badan.
Mohd Zuhairi berkata, dia berkawan baik dengan arwah selepas mereka bekerja di sebuah kilang di kawasan Kulim Hi-Tech sejak tujuh tahun lalu.
Menurutnya yang juga rakan sekampung mangsa, mereka akan pergi dan pulang ke rumah bersama dengan motosikal secara berasingan.
“Kami bekerja shif sama, sebab itu dapat pergi dan pulang bersama, namun hari ini saya terpaksa pulang awal kerana ada urusan sementara arwah singgah di Sungai Kob untuk bersarapan.
“Kami keluar dari kilang pada 8.20 pagi dan sebaik sampai di Sungai Kob, arwah menyerahkan petai dibeli dari rakannya di kilang kepada saya untuk diberi kepada ibunya,” katanya ketika di temui di Bilik Forensik Hospital Kulim, di sini, hari ini.
Katanya, selepas menyerahkan petai itu kepada ibu rakan baiknya, dia terus pulang ke rumah sebelum terkejut menerima panggilan daripada rakan lain pada 9.20 pagi memberitahu arwah terbabit kemalangan.
“Arwah suka bergurau dengan rakan-rakan sekerja. Kami kehilangan seorang rakan yang baik serta berdoa supaya rohnya di tempat dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya.
Sementara itu, bapa tirinya, Wan Bahari Wan Hamid, 54, berkata, kali terakhir dia berjumpa arwah kira-kira 11 pagi semalam.
“Saya dan isteri, Yusnita Desa, 44, mengetahui kejadian ini apabila dihubungi ahli keluarga lain ketika baru hendak keluar dari rumah.
“Selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu kami bergegas ke tempat kejadian dan terkejut serta berasa pilu melihat keadaan arwah yang sudah meninggal dunia,” katanya.
Wan Bahari berkata, anak sulung daripada tiga adik beradik itu tidak menunjukkan sebarang perubahan yang pelik.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, siasatan awal mendapati mangsa datang dari arah Kulim manakala lori pasir dipandu lelaki berusia 38 tahun dari Mahang.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal dinaiki mangsa dipercayai cuba memotong kenderaan lain namun tidak sempat mengelak lori itu menyebabkan mereka bertembung.
“Mangsa yang parah meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga,” katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Post a Comment