Pelawak Atu mengakui gementar sebelum naik ke atas pentas untuk menyerahkan bunga sebagai tanda permohonan maaf kepada penyanyi Nabila Razali pada acara Gempak Most Wanted Award 2022, pada Ahad lalu.
Tindakan Atu itu telah mencuri perhatian ramai, termasuk Nabila yang terkejut dengan kehadirannya bersama sejambak bunga ros di tangan.
ARTIKEL MENARIK:Sudah Ke Mahkamah, Shuhada Harap Nafkah Anak-Anak Takkan Putus
Atu ketika dihubungi BOOM! berkata, Nabila tidak tahu mengenai perkara tersebut kerana dirahsiakan oleh pihak produksi.
“Nabila tidak tahu tentang perkara tersebut. Hanya saya dan pihak produksi yang tahu, sebab itu muka dia terkejut ketika saya berdiri di hadapan dia.
“Saya berterima kasih kepada Nabila kerana sudi menyambut jambangan bunga sebagai tanda maaf daripada saya. Saya betul-betul mohon maaf daripada lubuk hati yang paling dalam.
“Saya juga memohon maaf kepada pihak produksi kerana lewat tiba ke lokasi kerana terlibat dengan penggambaran.
“Mujur pada hari berkenaan dapat pelepasan untuk keluar bertemu Nabila, walaupun cuma sekejap sahaja,” katanya.
Sejak semalam, tular rakaman video momen Atu menyerahkan bunga kepada Nabila Razali di laman sosial dan telah menjadi perbualan netizen.
Rata-rata mereka memuji reaksi spontan Nabila yang menyambut jambangan bungan daripada tangan Atu walaupun dalam keadaan terkejut.
Mereka menganggap tindakan Nabila itu sebagai profesional dan wajar menerima pujian.
Terdahulu, Nabila pernah mengeluarkan kenyataan tersinggung dengan kenyataan di keluarkan Atu dalam program The Masked Singer Malaysia 3 yang mempersendakan dirinya.
Bagaimanapun, selepas ia menjadi tular Atu telah memohon maaf dan perkara tersebut menjadi reda, namun kedua-duanya masih belum bersua muka, sehinggalah pada Ahad lalu di pentas Gempak Most Wanted Award 2022 ketika Nabila selesai membuat persembahan. – BOOM!
Kredit -
Post a Comment