PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ditahan pada jam 1 tengah hari tadi di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas beliau hadir untuk dirakam percakapan bagi melengkapkan proses siasatan akhir berhubung projek Jana Wibawa dan isu berkaitan.
Dalam satu kenyataan hari ini, SPRM juga mengesahkan badan itu sudah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara bagi menuduh Muhyiddin di Mahkamah Kuala Lumpur esok.
ARTIKEL MENARIK:Bersatu Fail Semakan Kehakiman Cabar Keputusan SPRM Beku Akaun
Ini bermakna, Muhyiddin akan bermalam di lokap Ibu Pejabat SPRM di sini, malam ini sebelum dibawa ke Mahkamah Kuala Lumpur untuk didakwa pagi esok.
Muhyiddin, 75, yang juga Presiden BERSATU bakal menghadapi beberapa pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Muhyiddin akan menjadi bekas Perdana Menteri kedua selepas Datuk Seri Najib Razak berdepan pertuduhan mengikut peruntukan seksyen sama di mahkamah.
Pada 18 Februari lalu, bekas Perdana Menteri itu mengesahkan dipanggil SPRM untuk memberi keterangan mengenai Jana Wibawa sebagai saksi dan bukannya suspek.
Bagaimanapun, sehari kemudian SPRM mengesahkan Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh antara suspek yang disiasat berhubung kes berkenaan dan siasatan ke atasnya masih diteruskan.
Pada 20 Februari, SPRM memaklumkan seorang pemimpin kanan sebuah parti politik berstatus Ahli Parlimen dan seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat, ditahan berhubung kes Jana Wibawa.
Sehari kemudian, bekas Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu. Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah.
Pada hari sama, Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, dihadapkan di mahkamah sama atas dua pertuduhan termasuk menerima rasuah RM500,000 membabitkan projek Jana Wibawa.
Dia sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 22 Februari atas kesalahan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berkaitan projek sama, disusuli pendakwaan kali ketiga pada 28 Februari berhubung projek Jana Wibawa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas pertuduhan meminta rasuah RM2 juta.
Pada 22 Februari juga, seorang pengarah syarikat perabot di Pagoh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas sembilan pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung program Jana Wibawa bernilai RM12.875 juta, sejak dua tahun lalu.
Jana Wibawa dilaksanakan ketika pandemik COVID-19 dan ia adalah kesinambungan kepada Program Pembangunan Kontraktor Binaan Bumiputera Berwibawa yang dimulakan pada 1993.
Pelaksanaannya diluluskan Jemaah Menteri pada 13 November 2020 ketika kerajaan ditadbir PN diterajui Muhyiddin.
KRONOLOGI ISU PROJEK JANA WIBAWA
13 November 2020 : Jana Wibawa diluluskan oleh Jemaah Menteri.
31 Februari 2023 : BERSATU berkongsi penyata akaunnya sebalik dakwaan mengaitkan parti itu menerima RM4 bilion daripada RM92.5 bilion dana Pakej Rangsangan Ekonomi.
1 Februari 2023 : Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sahkan pihaknya membekukan beberapa akaun milik BERSATU.
2 Februari 2023 : Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yasin maklumkan partinya menghantar surat kepada SPRM meminta pembatalan pembekuan akuan BERSATU.
15 Februari 2023 : Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan Kementerian Kewangan (MOF) sudah mengarahkan projek Jana Wibawa ditangguh.
16 Februari 2023 : Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) hadir beri keterangan kepada SPRM.
19 Februari 2023 : SPRM sahkan Muhyiddin antara suspek yang disiasat bagi projek Jana Wibawa.
20 Februari 2023 : Bekas Menteri MOF, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, beri keterangan kepada SPRM.
20 Februari 2023 : Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat, Adam Radlan Adam Muhammad ditahan SPRM.
21 Februari 2023 : Wan Saiful dan Adam Radlan masing-masing didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta dan RM500,000 berkaitan Jana Wibawa.
22 Februari 2023 : Adam Radlan sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berkaitan Jana Wibawa.
22 Februari 2023 : Seorang pengarah syarikat perabot di Pagoh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas sembilan pertuduhan meminta dan menerima rasuah bernilai RM12.875 juta.
24 Februari 2023 : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim maklumkan projek Jana Wibawa berjumlah RM7 bilion yang dibuat secara rundingan terus dibatalkan.
28 Februari 2023 : Adam Radlan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen sekali lagi atas pertuduhan meminta rasuah RM2 juta berhubung projek Jana Wibawa.
9 Mac 2023 : Muhyiddin sekali lagi hadir ke ibu pejabat SPRM bagi memberi keterangan berkenaan projek Jana Wibawa.
BHonline-
Kredit -MYNEWSHUB.
Post a Comment