SIAPA yang tidak sedih apabila berminggu-minggu terlantar di hospital. Namun kehadiran suami yang datang menziarahi setiap hari tanpa jemu sedikit-sebanyak memujuk hati wanita ini.
Lebih istimewa kerana suami tersayang tidak datang dengan tangan kosong sebaliknya sering membawa pelbagai juadah yang dimasak sendiri.
ARTIKEL MENARIK:Tak mampu beli hadiah mahal, bapa tinggal sebungkus roti coklat… Paling sebak baca nota tulisan tangan ucapan hari lahir
Berkongsi cerita kepada mStar, Raja Nurul Akmal Raja Ahmad berkata, dia terpaksa dimasukkan ke sebuah hospital sejak 25 Februari lalu akibat serangan jantung.
Sepanjang tempoh 14 hari di wad, wanita berusia 34 tahun itu mengakui membuat permintaan menu tertentu daripada suaminya kerana jemu dengan masakan hospital.
“Ada makanan yang saya request sebab awal-awal lagi dia dah pesan supaya beritahu jika nak makan apa-apa, dia cuba dapatkan.
Suami setia menemani Nurul di wad.
“Apabila ada masa lapang, dia akan masak nasi goreng ikan bilis tumbuk. Kelmarin dia buat kejutan buat salad sayur dengan telur rebus, sedap sangat,” katanya kepada mStar.
Lebih mesra disapa Nurul, pada masa sama dia turut menyedari suaminya suka berkongsi makanan yang disediakan pihak hospital.
“Apabila dipelawa, tak pernah dia tolak. Memang sengaja dia suruh saya minta makanan sedap-sedap (dari luar) supaya dia dapat makan nasi hospital tu… tukar dengan dia.
“Lidah saya rasa tawar, tapi suami makan berselera. Kalau lauk ikan tu sampai tinggal tulang. Kat sini lauk sama je, tengah hari ayam, petang ikan tapi suami tak pernah jemu,” ujarnya yang berasal dari Ipoh, Perak.
Nurul menyifatkan suaminya sebagai seorang yang penyayang.
Ditanya mengenai perasaannya sebagai isteri, suri rumah itu sudah tentu berasa bangga dan teruja apabila dilayan suami seperti bidadari.
“Saya tak pelik dengan perangai suami datang ke wad sebab kat rumah pun dia memang macam tu. Setiap pagi sebelum dia pergi kerja pun dia akan siapkan makanan untuk saya dan letak berhampiran dengan katil saya tidur.
“Bukan setakat masak, suami juga tolong kemas rumah, uruskan kucing dan ayam, basuh dan sidai baju, termasuk mandikan saya.
Usia perkahwinan Nurul dan suami memasuki tahun ketujuh.
“Malam sebelum tidur dia akan urut saya supaya saya selesa dan tak sesak nafas ketika tidur,” katanya sambil menambah suaminya melakukan pelbagai kerja seperti tukang urut, khidmat katering dan mengambil upah mengangkat barang.
Mengenai usia perkahwinan yang memasuki tahun ketujuh, Nurul bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang penyayang dan bertanggungjawab.
“Bukan niat saya untuk memuji suami sendiri, tetapi inilah kurniaan yang Allah beri pada saya,” katanya.
Dalam pada itu, Nurul memberitahu, dia kini dalam pemantauan hospital akibat penyakit yang dihadapinya dan sedang menunggu untuk menjalani pembedahan pintasan jantung.
Jelasnya lagi, dia turut disarankan untuk melakukan pembedahan di hospital swasta, namun memerlukan kos yang dianggarkan antara RM30,000 hingga RM40,000.
Sehubungan itu, dia mengharapkan sumbangan untuk menyegerakan pembedahannya sambil meluahkan keterujaannya untuk kembali menjalankan tanggungjawab sebagai isteri.
“Saya nak layan suami macam raja!” katanya mengakhiri perbualan.
VIDEO:
Sumber : MSTAR ONLINE
Kredit -
Post a Comment