Terpaksa tunggu berjam-jam sehingga terpaksa balik tanpa mendapatkan rawatan.
Itu adalah isu utama yang dikatakan terus berlaku di Unit Kecemasan Hospital Bentong sehingga menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat mengenai tahap perkhidmatan kesihatan negara.
ARTIKEL MENARIK:Dulu Jaga Suami Sakit Tapi Sudah Bercerai, Lepas 4 Bulan Dia Kahwin Lagi. Netizen Mula Beri Ayat Tak Elok Dan Ini Respond Dia
Isu yang berlarutan itu menyebabkan ada pesakit yang ‘mengamuk’ sehingga menimbulkan perbalahan dengan petugas kesihatan, malah ada yang tidak tahan ‘membeku’ sanggup pulang tanpa berjumpa doktor.
Seorang pekerja di hospital berkenaan yang enggan dikenali berkata, dia bukan sahaja menyaksikan ramai pesakit yang lambat menerima rawatan, malah dia sendiri mengalami nasib yang sama baru-baru ini.
Katanya, dalam kejadian pada Ahad minggu lalu itu, dia membawa anaknya berusia lapan tahun yang telah tiga hari demam ke Unit Kecemasan.
“Pada masa itu badan anak saya sangat panas dan dia dalam keadaan kesejukan, saya sampai pukul 10 pagi dan hingga pukul 5 petang masih belum dipanggil.
“Saya tidak tahu lagi hendak buat apa, hanya mampu memandang anak dalam keadaan sedih dan pilu, saya bukanlah sesiapa dan kerja biasa sahaja, jadi saya bawa anak saya balik terus ke farmasi membeli ubat demam,” katanya di sini semalam.
Tambahnya, keesokan harinya barulah dia membawa anaknya ke klinik kesihatan berhampiran bagi mendapatkan rawatan.
Dalam pada itu, seorang pesakit, Hasnorliah Abdul Hamid, 35, berkata, dia yang datang bagi melakukan janji temu rawatan susulan masalah retak di jari menunggu dari waktu pagi hinggalah malam untuk mendapat rawatan.
Katanya, semasa menunggu dia menyaksikan ramai pesakit yang mengeluh sehingga ada yang menjerit dan bertengkar dengan petugas kesihatan.
“Saya berasa kecewa dengan perkhidmatan di sini yang begitu lambat, saya daftar pukul 11 pagi seperti janji temu dan pada pukul 9 malam barulah saya dapat berjumpa dengan doktor.
“Sebelum ini saya ada masuk berjumpa doktor mengadu lambat dan berlaku pertengkaran sehinggakan doktor mengatakan kalau saya hendak buat aduan ke pihak atasan sila berbuat demikian,” katanya.
Seorang pesakit Edham Mohamad, 25, berkata, dia yang baru kemalangan dan mengalami simptom sakit kepala dan muntah telah bergegas ke Unit Kecemasan hospital berkenaan pada pukul 10 malam.
Katanya, selepas menunggu dua jam barulah dia dapat berjumpa doktor selepas seorang individu yang bersimpati dengan keadaannya menggesa doktor memberikan rawatan segera.
“Selepas jumpa, doktor kata saya tiada mengalami apa-apa dan saya balik ke rumah, semasa di rumah saya kembali muntah dan sakit sebelum pergi semula ke hospital pada pukul 2 pagi bagi mendapatkan rawatan,” katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Perbandaran Bentong, Datuk Jasvir Singh Ram Singh berkata, dia sering menerima aduan daripada masyarakat mengenai perkhidmatan di hospital berkenaan termasuk isu menunggu lama.
Beliau yang juga Pegawai Khas Menteri Besar meminta isu melibatkan kepentingan rakyat itu diberi perhatian segera bagi memastikan orang ramai mendapat perkhidmatan yang baik.
Sumber -KOSMO! ONLINE
Kredit -
Post a Comment