PETALING JAYA – Selepas enam bulan membiarkan kemelut rumah tangganya menjadi tontonan masyarakat, Syamsul Yusof berjanji akan mendedahkan perkara sebenar dalam masa terdekat.
Pengarah kontroversi itu berkata, segala penjelasan nanti bakal menutup segala teka-teki membabitkan perkahwinannya dengan isteri, Puteri Sarah Liyana Kamaruddin.
ARTIKEL MENARIK:“Saya tak tengok pun” – Ini alasan seniwati Fauziah Nawi tak ‘lalu’ tengok Mat Kilau
“Insya-Allah, saya akan beri titik noktah kepada semua permasalahan ini, harap bersabar,” kongsinya menerusi hantaran video di Instagram (IG), malam tadi.
Memilih ambang 2023 untuk tampil bersuara selepas selama ini mengunci mulut berhubung kehadiran ‘orang ketiga’, Syamsul mengakui enggan membuka aib sesiapa.
“Saya pun dah penat dan percaya
netizen juga letih dengan semua (isu) ini, cuma bezanya penjelasan saya itu tidak sama dengan pendekatan dilakukan isteri saya.
“Saya tidak mahu buka aib atau pekung sesiapa. Saya diam selama ini pun sebab rasa tak manis kongsi hal rumah tangga, isu dalam kain dan kisah peribadi saya bersama isteri kepada umum.
“Namun, selepas setengah tahun hal rumahtanga kami dikongsi Puteri Sarah dalam media sosial, media cetak dan elektronik, saya rasa sudah sampai masanya untuk jelaskan segala-galanya,” katanya.
Begitupun, Syamsul, 38, yang mengatakan isu tersebut mengganggu tidur turut meminta diberikan sedikit masa lagi untuk menyelesaikan semua perkara sebelum memperincikan segala penjelasan.
Pada masa sama, pengarah filem Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan itu menyedari dilahirkan dalam keluarga seni serta bergelar selebriti, membuatkan dirinya sering menjadi perhatian ramai, khususnya membabitkan kisah peribadi.
Secara tidak langsung semua itu membuka peluang kepada netizen melemparkan tuduhan, penghinaan serta cercaan apabila berlakunya situasi sedemikian.
Namun akui Syamsul, dia menerima pandangan sebegitu kerana dalam kehidupannya paling penting adalah ibu bapa, anak-anak, keluarga serta mereka yang mencari rezeki bersamanya.
Terdahulu Syamsul berhadapan kemelut rumah tangga dengan Puteri Sarah atas dakwaan kehadiran ‘orang ketiga’ dikenali Ira Kazar yang dikatakan mengganggu rumah tangga mereka.
Pasangan berkenaan berkahwin pada 8 Mac 2014 dengan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 5, dan Sumayyah, 3.
Syamsul juga dilaporkan mahu memfailkan saman RM10 juta terhadap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) atas dakwaan menyebarkan kenyataan tidak benar berhubung perkahwinannya. – KOSMO! ONLINE
Kredit -Kosmo Digital.
Post a Comment