PETALING JAYA – Tular satu klip video sekumpulan penumpang bot besar menyanyi lagu Negaraku sambil menaikkan bendera Israel dan Malaysia di kawasan perairan yang tidak dapat dikenal pasti lokasinya.
Dalam klip video berdurasi 47 saat tersebut, kumpulan lelaki dan wanita menyanyikan lagu kebangsaan tersebar di media sosial sejak kelmarin.
ARTIKEL MENARIK:Tangkapan mat rempit di Kelantan meningkat 114 peratus
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya menerima satu laporan polis berkenaan video tular tersebut.
Katanya, laporan tersebut dibuat oleh seorang lelaki tempatan sekitar pukul 11.20 malam, kelmarin.
“Lelaki itu menyatakan telah melihat rakaman video berdurasi 47 saat di dalam WhatsApp Group, di mana lagu Negaraku telah dinyanyikan oleh beberapa individu.
“Pengadu turut melihat bendera negara Malaysia dikibarkan bersama-sama dengan bendera Israel di dalam video itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ku Mashariman, hasil siasatan awal mendapati kejadian di dalam video tersebut berlaku pada bulan September 2022.
Jelasnya, perkara itu berlaku ketika sekumpulan warga tempatan mengadakan lawatan ke sebuah negara bersama agensi pelancongan.
“Susulan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Lagu Kebangsaan 1968 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1988,” katanya. – KOSMO! ONLINE
Kredit -Kosmo Digital.
Post a Comment