AMPANG – Penceramah selebriti, Pencetus Ummah (PU) Azman didakwa lagi buat kali ketiga kali ini di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun.
Bagaimanapun PU Azman atau nama sebenarnya, Azman Syah Alias ,41, yang turut dikenali sebagai Cik Man mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norhazani Hamzah.
ARTIKEL MENARIK:Syafinaz mohon netizen berhenti kecam Fieqa ATNM2
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa pada waktu tengah hari pada 22 Julai lalu dalam sebuah bilik di sebuah resort di Hulu Langat di sini.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.
Ini kerana hujah pendakwaan mahkamah boleh menggunakan budi bicara jika ingin memberikan jaminan dan memohon nilai yang tinggi bagi menunjukkan keseriusan kes.
“Kami mahu memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah dengan mengambil kira kes amang seksual fizikal menarik perhatian umum,” ujarnya.
Bagaimanapun peguam Fahmi Adilah dan Mohamad Zahid Ahmad memohon jaminan rendah bagi membolehkan anak guamnya mendapat pembelaan terbaik bagi menghadapi kes.
Ujarnya, pihak pembelaan percaya tiada alasan luar biasa yang melarang mahkamah menggunakan budi bicara membenarkan jaminan.
Beliau menghujahkan, anak guamnya telah didakwa sebelum ini di Mahkamah Klang dan diberikan jaminan RM24,000 manakala di Seremban RM40,000.
Mohamad Zahid turut berhujah, mahkamah berkenaan ketika itu turut mengeluarkan arahan supaya tertuduh dilarang mendekati mangsa dan saksi-saksi pendakwaan selain pasport ditahan.
“Sepanjang siasatan PU Azman turut memberikan kerjasama baik. Rayuan jaminan rendah kerana pendapatan tertuduh terjejas teruk selain turut menanggung keluarga,” katanya.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan PU Azman dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 10 Februari depan.
Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan iaitu dilarang mengganggu dan menghampiri mangsa serta saksi-saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan.
Tertuduh juga diperintah melapor diri di balai polis berdekatan setiap 1 haribulan serta pasportnya ditahan oleh mahkamah.
Pada 7 Disember lalu, Kosmo! melaporkan PU Azman didakwa lagi di Mahkmah Klang atas tiga pertuduhan amang seksual dan satu kelucahan melampau terhadap tiga remaja lelaki di dua mahkamah berasingan.
Sebelum itu, Kosmo! turut melaporkan tertuduh pernah didakwa buat kali pertama dan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban Negeri Sembilan atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki. – KOSMO! ONLINE
Kredit -Kosmo Digital.
Post a Comment