LONDON – Istiadat pemakaman Ratu Elizabeth II bakal berlangsung pada 19 September ini, kata Istana Buckingham semalam, yang turut mengeluarkan butiran mengenai istiadat tersebut, lapor agensi berita United Press International.
Pemakaman monarki berusia 96 tahun itu akan diadakan di gereja Westminster Abbey bermula pukul 11 pagi (waktu tempatan), kata pihak istana dalam satu kenyataan.
ARTIKEL MENARIK:Gempa kuat landa Papua New Guinea, cetus amaran tsunami
Menjelang istiadat tersebut, jasad mendiang Ratu Elizabeth akan berada di Dewan Westminster selama empat hari bagi memberi peluang kepada rakyat Britain memberikan penghormatan terakhir.
Majlis pemakaman ayahanda Ratu Elizabeth, Raja George VI sebelum ini diadakan di Gereja St George di Istana Windsor. Justeru, keranda mendiang baginda juga akan dibawa ke Istana Windsor untuk disemadikan di bilik kebal diraja.
Keranda mendiang baginda buat masa ini masih berada di Istana Balmoral, Scotland dan akan dibawa ke Edinburgh hari ini menggunakan jalan darat sebelum dibawa ke Istana Holyroodhouse.
Ia kemudian akan direhatkan di bilik takhta sehingga petang Isnin.
Raja Charles III dan ahli keluarga Diraja yang lain kemudian akan mengetuai perarakan ke Gereja St Giles di Edinburgh untuk istiadat seterusnya sebelum keranda mendiang baginda akan ditempatkan di situ untuk penghormatan terakhir daripada rakyat Scotland.
Pada 13 September, Tentera Udara Diraja Britain akan menerbangkan jasad baginda dari Scotland ke sebuah pangkalan di London.
Selepas upacara pemakaman di Westminster Abbey, jasad mendiang Ratu Elizabeth akan dibawa ke Windsor untuk disemadikan di Gereja St. George. – Agensi
Kredit -Kosmo Digital.
Post a Comment