SUNGAI PETANI – Seorang remaja perempuan dari Kampung Bakar Bata, Pinang Tunggal di sini, yang terlantar dan tidak boleh berjalan selepas tulang belakangnya hancur dihempap dinding konkrit tujuh tahun lalu menaruh harapan untuk merasai pengalaman menaiki kereta api.
Menurut Aziana Shaari, 17, dia sememangnya menyimpan keinginan menaiki kenderaan terpanjang di darat itu sejak kecil lagi.
ARTIKEL MENARIK:[VIDEO] Tular Hilux Tekan Minyak Rempuh Gerai Sebab Pemandu Pitam, Tapi Suara Perakam Jadi Perhatian
“Sejak kecil saya sememangnya teruja melihat kereta api berulang-alik menggunakan landasan berdekatan rumah setiap hari dan menyimpan hasrat untuk menaikinya apabila dewasa.
“Namun, impian itu tidak tercapai kerana semasa berusia 10 tahun saya terlibat dalam kemalangan ditimpa dinding konkrit menyebabkan terlantar sehingga kini,” katanya.
Akibat kejadian itu tulang belakangnya hancur selain mengalami kecacatan kekal apabila buah pinggangnya rosak, usus tidak berfungsi selain tidak mempunyai deria rasa dari paras pinggang hingga ke kaki.
“Saya telah kehilangan nikmat hidup sejak kejadian itu dan hanya inilah satu-satunya impian yang ingin dipenuhi sebelum saya meninggal dunia,” katanya.
Sementara itu, ibu Aziana, Fatimah Hashim, 49, berkata, seboleh-bolehnya dia ingin memenuhi hasrat anak bongsunya itu satu hari nanti.
“Namun, dengan keupayaan saya yang terhad selain kesukaran dihadapi sebagai ibu tunggal menjadi halangan untuk memenuhi impiannya,” katanya.
Katanya, bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM500 hanya cukup untuk memenuhi keperluan Azriana seperti lampin pakai buang dan ubat-ubatannya.
Fatimah boleh dihubungi di talian 014-3148891 atau bagi yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0230-0290-0058-8382 (Fatimah Hashim). -K! ONLINE
Kredit -Kosmo Digital.
Post a Comment