Semburan palsu

Semburan palsu

Kuala Lumpur: Lambakan penjualan produk cecair nyahkuman yang digunakan dalam bentuk semburan kabus kini semakin popular, sekali gus mendedahkan risiko masalah kesihatan berganda kepada pengguna.

Semburan palsu



Isunya, bukan saja keberkesanannya diragui dalam membanteras virus terutamanya Covid-19, malah membimbangkan bahan kimia yang terkandung dalam cecair itu terbukti membahayakan saluran pernafasan manusia.

ARTIKEL MENARIK:Campuran Kunyit Dan Lada Hitam Sebagai Anti-Kanser

Semakan Harian Metro mendapati produk cecair nyahkuman menggunakan sebatian seperti benzalkonium chloride (BAC) atau nanosilver dijual secara berleluasa di platform e-dagang atau media sosial sedangkan tiada kajian saintifik mengesahkan keberkesanannya membasmi virus Covid-19.

Sebelum ini, Cawangan Penilaian Teknologi Kesihatan (MaHTAS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mendedahkan tiada bukti menunjukkan sebatian nanosilver berkesan mencegah Covid-19.

Namun, apa yang mengelirukan sebahagian peniaga turut meletakkan salinan laporan ujian makmal dan Lembaran Data Keselamatan Bahan (MSDS) serta mendakwa produk nyahkuman berkenaan diperakui KKM untuk mengukuhkan dakwaan mereka mengenai 'keberkesanan' bahan itu.

Pensyarah Jabatan Kimia Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Bimo Ario Tejo berkata, keberkesanan alat penyembur nano untuk membunuh virus Covid-19 bergantung kepada jenis cecair nyahkuman yang digunakan.

Katanya, kebanyakan penyembur nano menggunakan cecair nyahkuman 'amonium kuaterner' seperti BAC atau berasaskan klorin seperti sodium dichloroisocyanurate (NaDCC) dan sodium hypochlorite.

"Keberkesanan BAC yang digunakan untuk membunuh virus Covid-19 masih diragui. Pusat Kawalan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat tidak mengesyorkan penggunaan BAC untuk membunuh virus ini disebabkan ketiadaan bukti keberkesanan yang kukuh.

"Berbeza dari BAC, cecair berasaskan klorin seperti NaDCC pula memiliki keberkesanan yang lebih baik untuk membunuh virus Covid-19," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, kedua-dua bahan kimia berkenaan memberikan kesan yang membahayakan saluran pernafasan dan paru-paru pengguna apatah lagi jika ia digunakan dengan kerap.



Loading...



"Dari aspek keselamatan, BAC dan NaDCC yang ditukarkan kepada bentuk kabus menerusi penggunaan bersama alat penyembur itu lebih mudah untuk dihidu dan membahayakan saluran pernafasan manusia.

"Kajian menunjukkan sebatian BAC jika terhidu boleh menyebabkan 'bronchoconstriction' terutama kepada penghidap asma manakala NaDCC pula menyebabkan kerengsaan hidung, tekak dan paru-paru.

"Justeru, aspek keberkesanan dan keselamatan mesti diambil kira dalam penggunaan penyembur nano ini, malah penggunaan cecair nyahkuman yang tidak berkesan memberi perasaan aman palsu (false sense of security) yang sudah tentu merisikokan pengguna kepada jangkitan Covid-19," katanya.

Menurutnya, masyarakat perlu memahami mekanisme pembasmian bakteria dan virus berbeza kerana proses pembiakannya juga tidak sama.

"Ada juga yang menggunakan cecair nanosilver sedangkan sebatian ini hanya berkesan membunuh beberapa bakteria saja tetapi masih tiada bukti keberkesanan membasmi virus Covid-19.

"Kita tidak boleh samakan apa yang terbukti berkesan membunuh bakteria boleh juga membunuh virus apatah lagi Covid-19 ini masih lagi perlukan kajian lanjut.

"Perlu difahami, jika sebatian nyahkuman boleh merencatkan pembiakan mikro organisma bakteria, virus pula membiak dalam sel tubuh badan kita, tetapi ia hanya statik atau mati jika di luar permukaan kulit," katanya.

KPDNHEP, KKM bincang cecair semburan nano

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung keberkesanan cecair nyahkuman yang digunakan dalam bentuk semburan nano.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, perkara itu masih dalam peringkat perbincangan.

"Setakat ini, kita tak dapat satu keputusan membuktikan cecair itu boleh mematikan virus Covid-19.

"Memang cecair ini belum disahkan berkesan lagi jadi kita nasihatkan pengguna jangan terpedaya sehingga terbukti bahan itu berkesan.

"Pengguna juga perlu pastikan pengesahan atau kelulusan pihak berkuasa pada label produk sebelum membeli apa saja bahan yang didakwa mencegah virus Covid-19," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan (APD) akan dikenakan terhadap syarikat atau penjual yang mendakwa produk itu berkesan.

"Kita boleh siasat dan minta peniaga turunkan iklan itu. Buat masa ini, kita belum terima sebarang laporan berhubung isu ini kemungkinan pengguna pun tidak sedar perkara ini.

"Peniaga yang overclaim mendakwa produk itu berkesan tetapi tiada bukti, keberkesanannya dipersoalkan atau tidak mendapat perakuan KKM, boleh diambil tindakan di bawah APD," katanya.

Kredit -hmetro



-----------------------------------------------------------------

Post a Comment

Previous Post Next Post