Antara kemusykilan yang dikenal pasti berhubung produk makanan sunnah dipasaran hari ini ialah iklan yang mendakwa boleh merawat penyakit tertentu tanpa pembuktian saintifik termasuk dakwaan yang berlebihan tentang kebaikannya.
Dakwaan sedemikian dibiarkan tanpa sebarang tindakan oleh pihak berkuasa kerana produk nutraseutikal (makanan tambahan) tidak memerlukan ujian dan keizinan khas daripada badan khusus sebelum dipasarkan kepada orang ramai seperti yang dikenakan terhadap produk farmaseutikal.
ARTIKEL MENARIK:Hati-hati pakai jubah, dress. Wanita ‘bertelanjang’ tak cium bau Syurga
Peniaga juga menggunakan agama dengan meletakkan petikan ayat al-Quran dan hadis pada pelekat iklan atau memaparkan gambar tokoh yang membawa imej Islam bagi menarik pengguna membeli produk yang dijual.
Walaupun produk berkenaan mengandungi makanan yang disebut dalam al-Quran dan makanan kegemaran Rasulullah SAW seperti kurma, barli, buah ara, anggur, madu, tembikai, susu, labu, cendawan, minyak zaitun, buah delima dan cuka; namun bahan itu bukannya asli kerana telah dicampur dengan pelbagai makanan lain.Kebanyakan dakwaan khasiatnya adalah berdasarkan penemuan saintifik bahan asas yang terdapat dalam produk tersebut dan bukannya berasaskan campuran atau suplemen.
Kemungkinan dengan campuran berkenaan, komposisi kimia makanan tersebut dan khasiatnya turut berubah berbanding bahan asal itu sendiri.Maka, adakah wajar produk tersebut didakwa sebagai makanan sunnah?Had kuantiti sesuatu jenis makanan dalam produk juga perlu diambil kira. Contoh yang paling mudah adalah seperti jus kurma.
Sekiranya jus kurma yang dijual tersebut bukan sekadar mengandungi kurma, tetapi juga gula tambahan, adakah ia baik untuk kesihatan?Oleh itu, produk-produk campuran sedemikian perlulah dibuat kajian secara saintifik sekali lagi bagi dibuktikan kesahihan khasiat dan manfaatnya untuk kesihatan.Dakwaan pengeluar ataupun testimoni pengguna bukanlah dalil terbaik untuk menjamin keselamatan, keberkesanan dan kualiti sesuatu produk.
Oleh itu, berhati-hatilah dengan teknik pemasaran produk makanan sunnah yang giat dimanipulasikan oleh pihak tertentu sebagai berkhasiat dan mujarab untuk mengelakkan persepsi negatif terhadap amalan pemakanan Rasulullah SAW.Di pihak pengguna, kita perlu sedar bahawa makanan yang dijual peniaga terbabit adalah berbentuk suplemen dan bukanlah pengganti kepada diet harian yang didakwa mengandungi pelbagai jenis vitamin yang berguna untuk tubuh.Harus juga diingatkan bahawa di dalam Islam, tidak ditetapkan jenis makanan yang perlu diambil, sebaliknya yang ditekankan ialah makanan yang halal lagi baik.Apa sahaja makanan boleh diambil asalkan menepati makanan halal lagi baik dan tidak hanya tertumpu kepada makanan kegemaran Rasulullah SAW sahaja.
Jika kita amati, makanan yang dimakan oleh Rasulullah SAW tertumpu kepada bahan-bahan atau tumbuhan yang boleh diperoleh di sekitar tanah Arab. Justeru, itulah yang diamalkan dan disarankan oleh baginda.Bagaimanapun, tidak bermakna kepelbagaian makanan lain yang Allah anugerahkan kepada hamba-hamba-Nya tidak memberi manfaat sebaiknya.Bagaimana pula dengan banyak lagi makanan yang lain, daripada rezeki yang dikurniakan Allah kepada manusia tetapi tidak dinyatakan dalam hadis-hadis ini?Adakah makanan-makanan ini kurang keistimewaannya berbanding dengan apa yang dirujuk sebagai makanan sunnah itu?Sebab itulah, perlu juga dilakukan kajian terhadap khasiat pelbagai jenis makanan yang terdapat di negara kita dalam konteks halal lagi baik.Ini kerana, tidaklah selamanya kita mahu bergantung kepada makanan import yang tidak terdapat secara semula jadi di negara kita.
Konsep pemakanan dalam Islam juga tidak hanya tertumpu kepada aspek fizikal makanan semata-mata iaitu baik dan berkhasiat, bahkan turut menjangkau aspek etika, rohaniah dan perundangan (halal).Dalam erti kata lain, diharuskan untuk kita memakan semua jenis makanan asalkan bahan berkenaan halal dan baik, tidak lupa mensyukuri kepada-Nya, tidak berlebih-lebihan dan tidak membazir.Satu lagi hakikat yang perlu disedari, hadis-hadis yang menyentuh tentang makanan dan minuman Rasulullah SAW adalah termasuk dalam kalangan perbuatan yang harus sahaja dan bukannya sunat ataupun wajib.Oleh itu, terserahlah kepada setiap orang, sama ada mahu menurutinya ataupun tidak.
Semoga memberi manfaat.
Kredit -Kartel Dakwah
Post a Comment