'Sebar fahaman khurafat, mengarut'

'Sebar fahaman khurafat, mengarut'

Kuala Lumpur: Satu dakwaan yang dilihat mengarut lagi khurafat.

'Sebar fahaman khurafat, mengarut'



Itu reaksi Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berhubung ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) yang mendakwa kebenaran mimpi ketuanya digelar Sittah Annur.

ARTIKEL MENARIK:Sultan Johor nafi keluar kenyataan dakwa Umno perdaya rakyat


Mohd Asri dalam satu ulasannya yang dipetik di YouTube berkata, mimpi di dalam Islam sememangnya diiktiraf menerusi beberapa dalil namun ia hanya membabitkan orang soleh dan bukannya dakwaan mengarut yang dikatakan wanita berkenaan.

Beliau berkata, Jabatan Mufti Perlis mempunyai maklumat berhubung pergerakan kumpulan itu termasuk mengenal pasti ketua-ketua ajaran ini.

"Kumpulan ini bukan seratus, dua ratus pengikut, mereka ada ribuan pengikut termasuk menggunakan pelbagai platform media sosial untuk menyebarkan fahaman khurafat mereka.

"Mereka (pengikut kumpulan PMYT) ini bergantung kepada mimpi wanita berkenaan yang membuat pelbagai ramalan terutama membabitkan kiamat.

"Ada dalam kalangan pengikut mereka yang sudah menjual rumah, membina rumah di dalam hutan, korek tanah untuk jadikan kubu dan bermacam lagi termasuk untuk memulakan perjalanan ke Syam bersama dengan Imam Mahdi," katanya.

Mohd Asri berkata, ada juga pengikut PMYT sudah mempersiapkan diri untuk menghadapi peperangan akhir zaman dengan membeli peralatan seperti anak panah.

Beliau berkata, kumpulan ini juga menyasarkan lokasi sempadan negara termasuk Perlis untuk berkumpul sebelum memulakan perjalanan untuk menyertai pasukan Imam Mahdi.

"Kita (Jabatan Mufti Perlis) mempunyai maklumat berhubung pergerakan kumpulan ini dan tahu siapa kepalanya (ketua) serta pengikut mereka," katanya.

Metro Ahad semalam melaporkan seorang wanita berusia 39 tahun yang menggunakan gelaran Sittah Annur didakwa mula mengembangkan ajaran PMYT dipercayai bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar.

Wanita berasal dari Kelantan dan menetap di Shah Alam, Selangor itu dikesan sejak enam bulan lalu menggunakan media sosial seperti Facebook, YouTube dan Telegram untuk berkongsi pelbagai ramalan termasuk Perang Dunia Ketiga kononnya berlaku di Sabah sebelum dia memimpin pasukannya untuk mencari Imam Mahdi bagi melawan musuh.

Bersedia untuk tindakan tegas!

Tindakan tegas akan diambil jika sebar ajaran menyeleweng di Pulau Pinang.

Itu komitmen Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang dalam membanteras sebarang unsur ajaran sesat yang dibawa seorang wanita seperti dilaporkan Metro Ahad, semalam.

Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dan memanggil wanita berkenaan jika didapati dia cuba menyampaikan ajarannya di negeri itu.



Loading...


Bagaimanapun, katanya, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang aduan terhadap ajaran berkenaan.

"Jika ada bukti, Jabatan Mufti akan memanggilnya untuk bersoal jawab. Jika apa yang diajarnya didapati menyeleweng daripada akidah atau syariat Islam berdasarkan kefahaman Ahli Sunnah Wal-Jamaah, maka dia akan dinasihat supaya bertaubat dan tidak menyebarkan ajaran sesat berkenaan.

"Bagaimanapun jika dia berdegil dan meneruskan juga penyebaran ajaran itu, dia akan didakwa di Mahkamah Syariah mengikut undang-undang sedia ada," katanya.

Beliau berpandangan wanita terbabit mempunyai masalah jiwa yang serius termasuk hidup di dalam khayalan.

Katanya, ada ketikanya khayalan itu membentuk kepercayaan yang palsu, tetapi bagi pengidapnya adalah suatu realiti.

"Mungkin dia menganggap dirinya seorang yang hebat atau mempunyai kebolehan luar biasa.

"Kemungkinan juga dia mempercayai bahawa dirinya boleh berdampingan dengan makhluk ghaib seperti malaikat atau bertemu dengan para nabi, dapat melihat atau masuk ke alam barzakh, masuk ke dalam syurga dan sebagainya.

"Selanjutnya mimpi dilihat daripada perspektif Islam bukanlah sumber hukum syarak yang wajib diterima oleh orang Islam sebagai panduan di dalam kehidupan. Mimpi juga tidak boleh dijadikan sebagai panduan bagi kehidupan bermasyarakat," katanya.

Beliau berkata, jika seseorang yakin bahawa mimpinya benar dan baik, dia boleh menerimanya sebagai pengalaman peribadi dan mengamalkannya di dalam kehidupannya sendiri asalkan tidak bertentangan dengan akidah dan syariat.

Namun, katanya, ia bukan untuk mengajak orang lain turut mempercayai dan mengamalkan bersamanya ajaran yang diperoleh di dalam mimpinya.

"Saya ingin menasihatkan umat Islam di negara ini supaya tidak mudah mempercayai ajaran yang didakwa oleh mana-mana individu yang mendapatkannya menerusi mimpi.

"Ini kerana agama Islam sudah sempurna pada zaman Nabi Muhammad SAW masih hidup, tak perlu lagi ditokok tambah dengan mimpi orang yang tidak siuman atau yang ada kepentingan tertentu.

"Rasulullah SAW hanya meninggalkan dua sumber sebagai panduan hidup umatnya iaitu al-Quran dan Sunnah. Umat Islam hendaklah berpegang teguh kepada kedua-dua sumber ini.

"Elakkan daripada mempercayai dakwaan yang tidak diketahui motif di sebaliknya," katanya.

Dakwaan bercanggah dengan ajaran Islam

Tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan jika didapati kumpulan berkenaan aktif memberi ceramah atau merekrut ahli kumpulan di Pahang.

Ia termasuk kemungkinan untuk menahan mana-mana individu yang berkaitan dengan ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT).

Demikian amaran Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berhubung kumpulan terbabit dan jika dikesan bertapak di negeri itu, tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan secara menyeluruh.

"Setakat ini, kita tidak terima apa-apa lagi (kegiatan dan aktiviti) kumpulan berkenaan di negeri ini (Pahang) namun jika ada, kita akan buat tindakan tegas.

"Dakwaan ketua kumpulan ini adalah sangat bercanggah dengan ajaran Islam malah dakwaan-dakwaannya mampu menimbulkan keresahan umum.

"Memang benar, mimpi adalah sesuatu yang diiktiraf di dalam Islam namun mimpi yang benar adalah (membabitkan) orang- orang soleh sahaja," katanya, semalam.

Abdul Rahman berkata, dakwaan wanita ini yang menyatakan dia pergi ke Arasy diikuti malaikat pengiring dan beberapa lagi adalah jelas bertentangan dengan ajaran Islam.

"Kami juga difahamkan bahawa kumpulan ini turut aktif bergerak di media sosial termasuk mempunyai beberapa kumpulan di Telegram bertujuan untuk menyebar luaskan fahaman mereka.

"Saya berharap masyarakat Islam tidak terpengaruh dengan dakwaan seumpama ini kerana ia sangat bertentangan dengan Islam.

"Seperti yang saya katakan, jika didapati kumpulan ini aktif di Pahang, pasti kita akan ambil tindakan dengan segera kerana kita tidak mahu fahaman songsang ini mempengaruhi masyarakat," katanya.

Menurutnya, berita-berita akhir zaman sudah pun dikhabarkan oleh Nabi Muhammad SAW dan ulasannya sudah banyak dinukilkan oleh ulama terdahulu.

Katanya, jika masyarakat mengikuti ulasan ulama, pastinya mereka tidak akan tersesat dengan dakwaan sebegini.

Jaipk buat laporan polis, SKMM

Bimbang dakyah berhubung ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) terus tersebar di media sosial, Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) sudah membuat laporan kepada polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Pengarahnya Datuk Mohd Yusop Husin berkata, laporan berkenaan dibuat kira-kira tiga minggu lalu susulan aduan diterima pihaknya berhubung ajaran PMYT.

Mengulas lanjut, Mohd Yusop berkata, tidak ada pusat aktiviti ajaran berkenaan dikesan di negeri itu namun pihaknya khuatir mengenai dakyah yang disebarkan menerusi media sosial.

"Kita mendapat maklumat awal mengenai ajaran itu dan membuat laporan polis serta SKMM.

"Kita difahamkan (ajaran ini) ada di merata-rata. Jadi laporan dibuat untuk pihak berkuasa terbabit mengambil tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi.

Mohd Yusop berkata, pihaknya dimaklumkan ada perancangan untuk mengembangkan ajaran berkenaan di negeri itu namun pihaknya masih belum mengesan sebarang aktiviti setakat ini.

Katanya, beliau menasihatkan umat Islam khususnya di Perak supaya berhati-hati dan mendalami ilmu agama daripada sumber yang betul dan tidak menyeleweng.

"Kita juga berharap mereka yang mendengar atau tahu mengenai ajaran ini supaya memaklumkan kepada Jaipk untuk kita ambil tindakan. Nasihat saya, berhati-hati dan salurkan maklumat kepada pihak berkuasa agama mahu pun jabatan mufti.

"Setakat ini ajaran itu memang diragui, tapi untuk menentukan statusnya, kita perlu rujuk kepada Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan. Tapi apa pun, berhati-hatilah, kena kenal siapa yang bawa apa-apa jua ajaran," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad ketika dihubungi mengesahkan pihaknya sudah menerima laporan mengenai ajaran terbabit.

Katanya, umat Islam diminta merujuk kepada pihak berkuasa agama negeri terhadap sebarang persoalan dan isu membabitkan percakapan, perbuatan serta lain yang meragukan, mengelirukan dan menyimpang yang mungkin bertentangan dengan prinsip hukum syarak.

"Ada (aduan) dan Jais sedang meneliti perkara ini. Orang awam diminta tidak membuat sebarang tuduhan mendahului fatwa, undang-undang dan mahkamah," katanya.

Menurutnya, satu laporan bakal dikemukakan kepadanya dalam masa terdekat dan pihaknya akan menentukan langkah seterusnya yang perlu diambil.


Kredit -hmetro



-----------------------------------------------------------------

Post a Comment

Previous Post Next Post