Kuala Selangor: Tragedi menyayat hati apabila seorang bayi perempuan berusia setahun meninggal dunia akibat ditetak bapa saudaranya susulan pergaduhan yang berlaku antara ahli keluarga.
Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, kejadian berlaku sekitar jam 12 tengah hari tadi di sebuah rumah terletak di Kampung Parit Mahang, Jeram di sini.
ARTIKEL MENARIK:Penduduk Taman Nagasari Yang Melarikan Diri Digesa Jalani Ujian Saringan COVID-19
Menurutnya, berlaku pertengkaran antara penghuni kediaman itu yang didakwa membabitkan adik beradik.
"Bagaimanapun pergaduhan itu berjaya dileraikan seorang ahli keluarga yang datang ke rumah berkenaan selepas menerima panggilan telefon.
"Suspek berusia 20-an dikatakan keluar dari rumah berkenaan. Namun tidak lama kemudian suspek memasuki sebuah lagi rumah berhampiran dihuni adik iparnya.
"Dia kemudian menggunakan parang panjang untuk menyerang adik iparnya itu. Bagaimanapun parang panjang yang dilibas itu sebaliknya mengenai kepala bayi berusia setahun," katanya.
Menurutnya, suspek sekali lagi cuba menetak adik iparnya itu namun berjaya ditahan ahli keluarga.
"Susulan itu mereka segera menghubungi polis sebelum penjenayah itu dapat ditahan tidak lama kemudian. Tidak dapat dipastikan sama ada penjenayah itu terbabit dengan aktiviti dadah," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa yang dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes bunuh berkenaan
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).
Terdahulu, tular di laman sosial Facebook memaklumkan bayi berkenaan dipercayai ditetak oleh bapa saudaranya.
Bagaimanapun, status berkenaan dipadam tidak lama kemudian dan mendapati seorang pemilik akaun Facebook memohon maaf di atas kenyataan yang dimuat naik.
Kredit -hmetro
Post a Comment