Ketika negara kita sedang berperang dengan penularan virus Covid-19, ramai diantara rakyat di negara ini yang cuba untuk mengambil kesempatan dengan melakukan perkara yang tidak berfaedah.
Baru-baru ini, terdapat beberapa syarikat yang dikatakan telah mengambil kesempatan terhadap pengurusan mayat Covid-19 bukan Islam.
ARTIKEL MENARIK:Kecoh! Pihak Atasan AirAsia ‘Tutup Mata’ Lihat Pekerja Dibuli Dalam Talian
Beberapa syarikat telah dikesan mengambil kesempatan dengan mengenakan bayaran terlalu tinggi untuk menguruskan mayat bukan Islam yang meninggal dunia akibat Covid-19 di Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, Exco Sumber Manusia, Perladangan Dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan, J Arul Kumar berkata, bayaran dikenakan terlalu tinggi sehingga membebankan waris termasuk membabitkan pusat pembakaran mayat.
Katanya, antara alasan yang diberikan oleh beberapa syarikat adalah mereka perlu menanggung kos tambahan untuk menyediakan pakaian peralatan perlindungan diri (PPE) dan bahan sanitasi.
“Saya berharap syarikat yang menawarkan perkhidmatan pengurusan jenazah Covid-19 dan pusat pembakaran mayat supaya tidak mengenakan bayaran yang terlalu tinggi berbanding sebelum ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook rasminya pada Rabu (semalam).
Menurut beliau, ini kerana mayat yang meninggal dunia akibat Covid-19 tidak melalui proses upacara keagamaan seperti kebiasaan yang mengambil masa lama dan tidak melibatkan kos yang banyak.
Beliau berkata, pihaknya juga sedang berbincang dengan beberapa agensi kerajaan untuk membekalkan PPE dan bahan sanitasi untuk mengurangkan kos tersebut.
Selain itu katanya, pihaknya juga telah menyemak dengan beberapa agensi kerajaan dan mendapati bukan hanya syarikat tertentu sahaja yang ditetapkan untuk menguruskan mayat yang meninggal dunia akibat Covid-19.
“Oleh itu, pihak waris boleh memilih mana-mana syarikat yang dapat menawarkan kos pengurusan lebih rendah mengikut kemampuan mereka.
“Saya juga berharap persaingan yang sihat antara syarikat-syarikat yang menawarkan perkhidmatan seperti ini akan membantu keluarga terlibat dengan kos yang rendah,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Post a Comment