Barang dapur basah merupakan bahan utama yang penting di dapur untuk penyediaan makanan harian kita. Setiap bahan mentah mempunyai tempoh kesegaran yang berbeza.
Namun, jika anda menyimpan bahan-bahan ini dengan kaedah sejuk beku yang betul, jangka hayat dan tahap kesegarannya boleh dipanjangkan. Jika anda ingin tahu cara yang betul bagi menyimpan barang dapur basah di dapur supaya tahan lebih lama, teruskan membaca artikel ini.
ARTIKEL MENARIK:Jangan Letak Ubat Gigi Kalau Anggota Badan Melecur, Ini Cara Patut Buat Elak Jangkitan Kuman
1. Ayam
Ayam merupakan sumber protein yang mudah didapati di pasar basah atau mana-mana pasaraya. Jika disimpan di dalam ruangan sejuk beku dengan kaedah kedap udara, daging ayam boleh tahan dalam tempoh sembilan bulan hingga setahun!
Tips memilih ayam segar:
- Pastikan warna daging ayam masih lagi kemerah-merahan dan tidak pucat
- Ayam tidak berbau busuk serta daging ayam masih pejal dan tidak lembik
Penyediaan:
- Bersihkan ayam dengan membuang lebihan lemak serta darah beku
- Potong ayam kepada bahagian yang lebih kecil. Proses pemotongan ayam akan memudahkan kerja anda untuk menyimpan dan memasak
- Bersihkan di bawah air yang mengalir dan toskan sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk
Cara menyimpan:
- Simpan dalam bekas yang bertutup atau bagi mereka yang ingin menjimatkan ruang, gunakan beg plastik kedap udara seperti beg ziplock
- Simpan di ruang sejuk beku
- Bagi memudahkan dan mempercepatkan kerja memasak, asingkan bahagian ayam yang ingin digunakan ke dalam bekas yang berlainan daripada baki ayam yang perlu disimpan.
2. Ikan
Bagi ikan pula, cara penyediaan ikan sungai dan laut adalah sedikit berbeza. Ini kerana ikan sungai lebih berbau hanyir berbanding ikan laut. Kebiasaannya, ikan yang dibekukan boleh bertahan dari dua ke enam bulan. Ini bergantung kepada jenis ikan tersebut.
Tips memilih ikan segar:
- Pastikan mata ikan masih lagi jernih dan timbul. Mata ikan yang tidak segar akan berwarna kemerahan dan tenggelam
- Warna insang ikan yang segar juga masih berwarna kemerahan dan bukannya coklat kehitaman
- Dari segi tekstur, ikan segar masih mempunyai tekstur yang pejal dan tidak berlendir
Penyediaan:
- Jangan dedahkan ikan terlalu lama pada suhu bilik selepas membelinya dari pasar/pasaraya kerana ia akan cepat busuk dan tidak tahan lama
- Ikan perlu disiang terlebih dahulu dengan membuang isi perut, insang dan sirip
- Gunakan pisau dan papan pemotong yang bersih sewaktu menyiang ikan untuk mengelakkan jangkitan silang (cross contamination). Pastikan pisau dan papan pemotong yang digunakan untuk barang dapur basah sebolehnya digunakan berasingan dengan yang digunakan untuk memotong sayur
- Bagi ikan yang lebih hanyir terutamanya ikan sungai, basuh dengan rendaman air asam jawa atau lumurkan sedikit garam untuk menghilangkan lendir hanyir pada ikan
- Basuh ikan di bawah air yang bersih dan mengalir sebelum disimpan di dalam peti sejuk
Cara menyimpan:
- Simpan ikan dalam bekas yang bertutup, plastik ziplock atau pembalut lekat
- Jangan simpan ikan yang digaul bersama pes atau ramuan kerana dikhuatiri akan cepat basi walaupun berada di dalam peti sejuk
3. Daging
Daging merupakan sumber protein yang boleh dimasak dengan pelbagai jenis menu. Bagi mendapatkan daging yang lembut dan tidak liat, anda boleh potong daging secara melintang dengan uratnya (grain). Jika disimpan dengan baik, daging boleh bertahan dalam tempoh empat ke 12 bulan.
Tips memilih daging segar:
- Daging yang segar akan berwarna kemerahan dan bukannya pucat atau berwarna kehitaman
- Daging tidak berbau busuk
Penyediaan:
- Bersihkan lebihan lemak dan kekotoran pada daging.. Jangan terlalu kerap membasuh daging kerana ia akan menghilangkan kemanisannya
- Potong kepada bahagian yang lebih kecil agar lebih senang untuk pembekuan dan proses memasak
- Pastikan tekstur daging yang dibeli masih pejal
Cara menyimpan:
- Simpan daging dalam bekas yang bertutup, pembalut lekat atau beg plastik kedap udara
- Daging yang disimpan perlu diasingkan mengikut bahagian untuk memudahkan proses masakan. Contohnya, asingkan bahagian daging batang pinang (sirloin) dan tulang rusuk (ribs)
- Daging hendaklah disimpan dalam ruang sejuk beku secepat mungkin selepas dibersihkan untuk mengelakkan kerosakan
- Labelkan bahagian daging
4. Ketam
Bagi penyediaan ketam, ia memerlukan proses yang sedikit teliti berbanding dengan jenis barang dapur basah yang lain. Bagi mereka yang mempunyai anak kecil, cara yang akan dikongsikan ini sangat berguna untuk memudahkan anak-anak anda menikmati hidangan ketam. Ketam yang disejuk bekukan boleh bertahan sehingga 10 bulan.
Tips memilih ketam segar:
- Bahagian belakang ketam yang segar adalah apabila, jika ditekan ia masih keras. Sekiranya ditekan dan terasa lembik, kemungkinan ketam itu sudah kurang segar
- Tidak berbau busuk
Penyediaan:
- Bagi menyiang ketam, anda memerlukan sebilah gunting yang tajam untuk memudahkan proses ini
- Potong kaki ketam di bahagian yang tiada isi dan semua bahagian tajam (berduri) pada ketam
- Buang cengkerang, potong ketam kepada dua bahagian
- Buang insang dan bahagian mulut ketam
- Pastikan semua kotoran pada ketam dibersihkan dengan sempurna
- Ketuk sedikit bahagian sepit ketam supaya mudah dimakan nanti
Cara menyimpan:
- Kaedah menyimpan dalam plastik adalah kurang sesuai kerana khuatir bahagian tajam pada ketam akan menyebabkan kebocoran pada plastik. Untuk lebih elok gunakanlah bekas yang bertutup
- Anda juga boleh mengisi air sehingga paras ketam dan simpannya dalam ruang sejuk beku
5. Telur
Telur merupakan bahan mentah yang paling mudah untuk dimasak dan sangat cepat untuk disediakan. Namun begitu, pastikan anda memilih telur yang segar dan bukannya telur yang sudah lama. Kebiasaanya, telur cuma bertahan selama sebulan.
Tips memilih telur segar:
- Telur yang segar akan tenggelam jika diletakkan di dalam air manakala telur yang lama akan timbul di permukaan air
- Jika putih telur terlalu cair dan berbau, telur tersebut sudah lama dan tidak elok untuk dimakan
Penyediaan:
- Bersihkan kotoran pada permukaan telur dan keringkan
Cara menyimpan:
- Berbeza dengan barang dapur basah yang lain, telur tidak perlu diletakkan di ruangan sejuk beku
- Bagi mengelakkan telur mudah pecah akibat berhimpit dengan barang lain, letak telur dalam satu bekas yang berasingan dan bertutup
- Kebanyakan orang menyimpan telur di bahagian pintu peti sejuk, yang merupakan cara yang kurang tepat, kerana telur memerlukan suhu yang lebih sejuk dan stabil bagi mengelakkan pembiakan bakteria. Sebolehnya simpan telur di bahagian utama peti sejuk
6. Sotong
Kalau kena pada musimnya, pasti banyak sotong yang dijual di pasar basah. Sotong akan jadi lebih menyelerakan jika mempunyai telur yang banyak. Jika disimpan dan dibersihkan dengan baik, sotong boleh kekal segar dari tempoh tiga ke enam bulan.
Tips memilih sotong segar:
- Sotong yang tidak segar akan mengeluarkan bau yang sangat hanyir, jadi pilihlah sotong yang pejal dan tidak berbau
- Mata sotong yang segar adalah jernih dan masih timbul
- Kulit pada bahagian badan sotong juga masih lagi ada dan tidak tertanggal
Penyediaan:
- Asingkan bahagian kepala dan badan sotong
- Buang segala kotoran dalam badan sotong kecuali telur sotong. Pastikan isi perut sotong dibersihkan dengan sempurna, kerana ia boleh menyebabkan bau busuk dalam peti jika isi perutnya masih ada
- Buang dakwat hitam dan gigi pada bahagian kepala sotong. Buang dakwat secara berhati hati kerana kantung dakwat sotong ini sangat mudah pecah
- Buang kulit sotong jika perlu
Cara menyimpan:
- Asingkan sotong dalam bekas yang bertutup atau beg plastik kedap udara
- Anda juga boleh mengisi air hingga paras sotong di dalam bekas yang bertutup
- Simpan dalam ruangan sejuk beku
7. Kerang-kerangan
Kerang-kerangan adalah spesies hidupan yang mempunyai cengkerang. Kebiasaannya, sumber protein ini mudah didapati di kawasan yang berlumpur dan berpasir. Kerang-kerangan yang disejuk bekukan boleh disimpan sehingga tiga bulan.
Tips memilih kerang segar:
- Bagi memilih kerang segar, pastikan kulit cengekerang kerang masih tertutup
- Pastikan juga isi kerang tidak berbau busuk dan berlendir
Penyediaan:
- Bagi mereka yang membeli kerang-kerangan yang masih mempunyai cengkerang, pembersihan perlu dilakukan secara teliti
- Kebiasaannya, cengkerang akan mempunyai kotoran daripada lumpur.
Terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan untuk membersihkannya dengan
menggunakan bahan asas yang mudah didapati di dapur, iaitu:
- Tumbuk beberapa batang serai dan rendamkan dalam air bersama kerang. Biarkan selama 10 minit sebelum ditoskan
- Cara paling mudah, rendamkan kerang bersama dengan air beras. Gunakan air bilasan beras yang telah anda gunakan untuk membasuh beras
- Rendam kerang bersama air garam
- Rendam kerang dalam air bersama asam keping
Dengan menggunakan beberapa cara ini, kerang akan lebih bersih dan tahan lebih lama.
Cara menyimpan:
- Simpan dalam bekas bertutup atau beg plastik kedap udara
- Jangan masukkan air bersama kerang semasa menyimpan kerana ia akan menyebabkan kerang menjadi busuk
8. Udang
Udang yang segar dan disimpan dengan baik tidak akan hilang kemanisannya. Oleh itu, cara penyediaan dan penyimpanan sangat penting untuk dilakukan dengan betul. Udang akan kekal segar dari tiga hingga ke enam bulan jika betul cara simpanannya.
Tips memilih udang segar:
- Cara paling mudah memastikan udang itu segar adalah pada baunya
- Tekstur udang juga masih lagi pejal dan tidak lembik
- Udang yang segar akan berwarna jernih
Penyediaan:
- Basuh udang di bawah air yang mengalir dan potong janggut udang
- Belah sedikit bahagian tengah belakang udang dan cungkil urat hitam untuk membersihkannya
- Anda boleh memisahkan bahagian kepala dan badan jika mahu. Bahagian kepala boleh direbus untuk dijadikan stok
Cara menyimpan:
- Simpan dalam bekas yang bertutup atau beg plastik kedap udara
- Jika mahu, isi air paras udang di dalam bekas yang bertutup
- Simpan dalam ruang sejuk beku
Sumber: iProperty
Kredit -
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih Banyak!
PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.
Post a Comment