JENERAL Qassem Soleimani maut bersama enam lagi individu dalam serangan udara yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat di Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad baru-baru ini. Serangan udara itu dilaporkan mendapat restu Presiden Donald Trump.
Siapa Jeneral Qassem Soleimani yang maut dalam serangan udara Amerika Syarikat? |
Qassem Soleimani, yang mengetuai Pasukan Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mula dikenali bagaikan seorang selebriti di dalam dan luar negara, kerana mengetuai Pasukan Al-Quds iaitu sayap luar IRGC.
ARTIKEL MENARIK: Kuda mati kepenatan terpaksa ulang-alik angkut mangsa banjir tanpa henti
Loading...
Beliau memainkan peranan penting dalam peperangan di Syria dan Iraq serta menjadi individu yang bertanggungjawab memperluaskan pengaruh Iran di Timur Tengah.
Soleimani telah berjaya menyelamatkan diri dari beberapa percubaan bunuh terhadapnya oleh pihak barat, Israel dan Arab sejak 20 tahun lalu.
Pasukan Al-Quds yang dipimpin oleh Soleimani ditugaskan untuk menjalankan operasi di luar sempadan Iran, antaranya memberi bantuan ketenteraan kepada Presiden Syria, Bashar Al-Assad apabila Bashar dilihat hampir-hampir dikalahkan dalam perang saudara yang telah berlanjutan sejak tahun 2011.
Al-Quds juga telah membantu kumpulan-kumpulan bersenjata bagi mengalahkan kumpulan ISIS.
Soleimani mula mengetuai pasukan Al-Quds dalam tahun 1998 namun selama bertahun-tahun beliau tidak begitu dikenali. Antara peranan penting yang dijalankannya ialah memperkukuhkan hubungan dengan Hezbollah di Lubnan, Bashar Al-Assad di Syria serta kumpulan-kumpulan militan Syiah di Iraq.
Loading...
loading...
Nama Soleimani mula diberi perhatian sejak beberapa tahun kebelakangan ini selepas muncul bersama Pemimpin Agong Iran, Ayatollah Ali Khamenei dan beberapa pemimpin-pemimpin Syiah.
Di bawah kepimpinan Soleimani, Pasukan Al-Quds yang ditubuhkan sejak tahun 1980 telah berjaya mengembangkan keupayaannya dengan begitu ketara dan berpengaruh dari segi risikan, kewangan, dan politik melangkaui sempadan negara Iran.
Soleimani berasal dari latar belakang orang kebanyakan, dia dilahirkan dari sebuah keluarga miskin di Daerah Kerman yang terletak di tenggara Iran.
Dia mula bekerja pada usia 17 tahun untuk membantu keluarganya, dan banyak menghabiskan masa lapang dengan membantu mengangkat barang serta menghadiri kuliah-kuliah yang disampaikan oleh Khamenei.
Pada zaman mudanya ketika revolusi Iran dalam tahun 1979, Soleimani mula aktif bersama tentera Iran, dan dilaporkan hanya menerima latihan taktikal selama enam minggu sebelum menyertai pertempuran buat kali pertama di Azerbaijan.
Soleimani muncul sebagai wira negara dalam perang Iran—Iraq selepas mengetuai misi-misi ketenteraan di sepanjang sempadan Iraq.
Susulan pembinaan semula Kerajaan Iraq dalam tahun 2005, pengaruh Soleimani melebar di dalam politik Iraq di bawah pemerintahan bekas perdana menteri Al-Jaafari dan Nouri al-Maliki.
Pada waktu itu, Organisasi Badr sebuah parti politik berfahaman Syiah dan separa pasukan tentera yang disebut sebagai "Proksi tertua Iran di Iraq," telah berjaya menguasai politik negara itu selepas menteri dalam negeri dan menteri pengangkutan berjaya dikawal oleh sayap politik bersenjata kumpulan tersebut.
Susulan tercetusnya perang saudara di Syria dalam tahun 2011, Soleimani telah mengarahkan sebahagian dari militan yang dipimpinnya di Iraq untuk mempertahankan kerajaan Assad di Syria.
Manakala semasa peperangan Iraq menentang ISIS, Hashd Al-Shaabi sebuah pasukan separa tentera Syiah yang terkenal dan ditaja oleh Iran telah bertempur bersama tentera Iraq untuk mengalahkan ISIS.
Menurut Mohammad Marandi, ketua penyelidikan tentang Amerika Syarikat, dari Universiti Tehran, peranan Soleimani dalam membantu mengalahkan ISIS telah menjadikannya sebagai "Wira negara," dan "Syahid," di kalangan rakyat Iran dan negara-negara Timur Tengah yang lain.
"Jika tidak ada orang seperti dia (Soleimani), bendera-bendera hitam (panji ISIS) akan berkibar di seluruh wilayah ini," katanya.
Khabar angin tentang kematian Soleimani pernah tersebar dalam beberapa peristiwa, termasuk insiden pesawat terhempas dalam tahun 2006 yang mengakibatkan kematian pegawai-pegawai tentera di barat laut Iran dan ketika kejadian pengeboman di Damsyik, Syiria yang membunuh orang kanan Presiden Bashar Al-Assad.
Pada tahun 2015 juga pernah tersebar satu khabar angin mendakwa Soleimani yang mengetuai pasukan tentera yang setia kepada Al-Assad telah terbunuh dalam pertempuran di Aleppo, Syria.
Dalam bulan Oktober tahun lepas, Tehran mendakwa telah berjaya mematahkan rancangan pihak Israel dan Arab untuk membunuh Soleimani.
Menteri Luar Israel, Israel Katz dalam bulan Ogos dilaporkan oleh media tempatan Israel sebagai berkata bahawa negara itu sedang berusaha mengesan Soleimani.
Sumber — https://www.milosuam
Post a Comment