“Kerusi di kantin adalah hak murid, bukan tempat untuk ibu bapa duduk dan layan anak sendiri”
“Kerusi di kantin adalah hak murid, bukan tempat untuk ibu bapa duduk dan layan anak sendiri” |
Cuba fikir, betul ke silap mak ayah bila anak buat perangai di sekolah? Ya, memang tak mudah nak disiplinkan seorang anak di rumah tetapi nak tak nak mak ayah patut mulakan dari peringkat awal untuk elak daripada berlaku drama pelik-pelik di sekolah.
Jadi untuk buang sikap buruk dalam diri mak ayah, jemput baca perkongsian Puan Siti Saleha Jaffar ini, apa yang ditulis di status Facebook miliknya tular dan mendapat perhatian ramai…
Realiti Di Sekolah
Selama 4 hari follow rayqal, mengajar dan memantau cara membeli, mengajar menunggu mamy/abah ambil, mengajar naik turun van, inilah realiti yang terjadi di depan mata…
ARTIKEL MENARIK: Pelantar Minyak Dipukul Ombak Besar Akibat Ribut Tropika Pabuk. Rakaman Video Berjaya Diambil
1. Mak Ayah Tak Ikut Arahan
Cikgu mengarahkan supaya ibubapa beredar dari tapak perhimpunan untuk meneruskan kelancaran aktiviti, tindakan sesetengah ibu bapa mengabaikan arahan itu malah berwefie dan memaksa anak-anak pose.
Hakikat : Ibubapa sendiri mengajar anak degil dan mengingkari arahan, jadi anda mengharapkan cikgu untuk didik anak anda tidak degil dan mengikut arahan??
2. Duduk Tempat Makan Anak Murid
Waktu anak rehat, ibubapa mengambil tempat duduk murid lain untuk temankan anaknya sahaja makan. Maka murid tersebut terpinga-pinga sambil memegang pinggan dan air sambil mata meliar mencari tempat duduk..kawan terlanggar habis mee dan air tumpah, bayangkan itu yang terjadi pada anak kita sendiri.
Hakikat : Ibubapa sendiri mengajar anak menjadi seorang yang mementingkan diri dan mengambil hak orang lain
3. Ambil Gambar Waktu Sesi Belajar
Cikgu mengarahkan supaya ibubapa beredar di hadapan kelas untuk memulakan sesi pembelajaran tapi arahan diingkari malah keluarkan smartphone sambil snap gambar.
Hakikat : Ibubapa mengajar anak untuk tidak yakin dan tidak mempercayai seseorang yang menjalankan amanah, mengajar anak tidak menghormati hak orang lain.
4. Cakap Menipu
Sambil beratur membeli buku dan bayar yuran, seorang bapa sambil memimpin anak berusia 4-5 tahun memotong barisan.
“cikgu, berapa lama nak beratur nie, saya kejap lagi nak masuk kerja.”
Maka si anak kecil petah berkata-kata, “Papa kata cuti hari nie nak bawak adik pergi tengok cerita jumanji”. Dan si kecil itu dijerkah bapanya di khalayak ramai.
Hakikat : Ibubapa sendiri mengajar anak bercakap bohong, menipu, tidak sabar dan menjatuhkan maruah orang di hadapan orang adalah tidak salah
5. Ambil Hak Orang
Ibubapa beratur bersesak-sesak dengan murid lain membeli makanan untuk anaknya seorang dengan tujuan mengajar cara membeli di kantin. Maka drama berlangsung lebih kurang 5-7 minit di situ. Murid-murid lain dibelakang masih ramai lagi. Apabila masing-masing dapat makanan, baru menyuapkan makanan sesuap dua, loceng berbunyi tanda waktu rehat berakhir. Maka si polos, bangun sambil menoleh makanan yang tak sempat dihabiskan dan berlalu mencuci tangan.
Hakikat : Ibubapa mengajar anaknya cara mementingkan diri sendiri, mengambil hak orang lain dan tiada rasa belas pada orang lain. Apa salahnya buat role play jual beli di rumah??
6. Parking Kereta Sesuka Hati
Parking kenderaan dan van sekolah dipenuhi oleh kereta-kereta ibubapa yang mahu mengambil anaknya. Dikejauhan terlihat murid yang masih belum biasa menangis keseorangan mencari van yang terselindung disebalik kenderaan ibubapa lain.
Hakikat : Ibubapa mengajar anaknya mementingkan diri, tidak peduli orang lain dan mengambil hak orang lain itu tidak menjadi satu kesalahan.
Begitulah drama realiti serba sedikit yang terjadi di hadapan mata.
Sedih memang cukup sedih melihat betapa masyarakat sekarang semakin tenat adab, akhlak dan tingkah laku.
Lagi sedih, bila memikirkan sikap generasi akan datang 10-20 tahun lagi bagaimana hasil corakannya.
Sedarlah wahai ibubapa, dikala kita galak menyalahkan guru-guru atas tingkah laku anak kita yang tidak seperti diharapkan, sebenarnya anak itu sendiri belajar dari ibubapanya.
Dikala kita galak memarahi guru-guru yang menghukum anak-anak kita atas kesalahannya, sebenarnya kita sendiri mencorakkan corakan hitam pada sisi hidup anak kita sendiri.
Sebelum kita meletakkan sesuatu kesalahan anak kita pada orang lain, refleks diri dulu… tanya pada diri sendiri sudah cukup sempurnakah didikan kita pada anak kita.
Guru yang sebenar-benar guru adalah ibubapanya sendiri dan guru disekolah bertanggungjawab menggilap lagi potensi anak yang kadangkala ibubapa terlepas pandang.
Ingat hakikat ini walau pahit untuk diterima.
Ibubapa adalah cerminan anak-anak.
Mak Ayah lah sebenar-benar guru pada anaknya.
Jadi bertanggungjawablah usah dilepaskan amanah itu di bahu orang lain.
Kelak disana terkaku kelu lidah untuk menjawab dihadapan pencipta.
Mak Ayah lah sebenar-benar guru pada anaknya.
Jadi bertanggungjawablah usah dilepaskan amanah itu di bahu orang lain.
Kelak disana terkaku kelu lidah untuk menjawab dihadapan pencipta.
Ini Pula Perkongsian Dari Seorang Guru
Teguran pernah dibuat sebelum ini, namun masih ada ibu bapa yang mengulangi perbuatan mereka iaitu merampas tempat duduk murid di kantin sehingga murid-murid yang lain terpaksa makan berdiri dan paling teruk, langsung tak menjamah makanan ketika waktu rehat.
Ibu bapa yang tidak bertanggungjawab ini hanya mementingkan anak tekak anak-anak mereka sahaja tanpa memikirkan murid-murid yang lain. Di kala berbangga dengan gambar selfie sedang menyuap anak di kantin acah-acah sweet moment bahagia etc, mereka tidak sedar mereka telah menganiaya murid-murid yang lain.
Sekali lagi, Cikgu Mohd Fadli Salleh tampil memberikan teguran kepada ibu bapa, berhenti dari terus merampas hak dan menganiaya murid-murid Tahun Satu di kantin.
TERLIHAT gambar pertama yang dikongsi seorang sahabat, terus menyirap darah ke muka. Aku marah sangat! Banyak kali aku tulis mengenai hal ini sejak bertahun-tahun dulu lagi.
JANGAN AMBIL HAK MURID!
Kerusi di kantin itu adalah hak murid, tempat murid duduk untuk makan. Bukannya tempat untuk ibu bapa duduk dan melayan anak-anak sendiri sehingga murid lain termangu-mangu tiada tempat hendak tuju.
Kes sebegini sudah banyak kali aku hadapi dari dulu lagi. Aku tak pernah segan silu nak ‘sound’ ibu bapa yang ambil tempat duduk. Dengan nada marah, dengan nada keras aku akan bersuara. Siapa sahaja yang ambil hak anak-anak aku, aku akan sound direct. Nak terasa? Silakan, memang aku harap sangat mereka terasa.
Apa punya manusia tak fikirkan hak orang lain? Tak fikirkan murid lain yang datang tanpa ditemani ibu bapa? Aku sangat marah kerana hal ini berlaku pada aku tujuh tahun lalu. Satu kisah benar yang menimpa aku sebagai guru tahun satu. Aku pernah tulis dulu dan hari ini aku tulis lagi.
Seorang anak yatim, ayahnya sudah lama meninggal dunia. Ibunya pula sakit kanser kalau tak silap dan terpaksa ditahan di wad. Ibu saudaranya yang menjaga budak itu. Dan di hari pertama persekolahan, tanpa sesiapa yang teman, dia terkebil-kebil bersendirian. Berdiri diam di tepi tiang sambil menyaksikan betapa kejam orang dewasa duduk di tempat dia sambil menyuap anak mereka makan.
Waktu rehat tamat, murid itu kelaparan namun tidak sempat makan. Masa dia letak pinggan yang masih penuh tanpa disentuh, baru aku perasan. Aku duduk dan tunggu dia makan. Temankan dia walaupun dia dah kalut nak masuk kelas kerana semua kawan-kawannya sudah bergegas masuk kelas. Dia takut kena marah dengan cikgu, dia rela berlapar kerana risau lambat masuk kelas.
Namun dengan jaminan aku, dia akhirnya akur untuk makan. Aku tunggu sampai dia selesai dan aku hantar dia ke kelas. Itu anak yatim yang kau orang dewasa kejam ambil hak dia.
Kau paparkan gambar bahagia menyuap anak tercinta di kantin, padahal sebenarnya kebahagiaan kau itu meragut hak anak yatim!
Sejak itu, aku memang cukup pantang kalau ibu bapa duduk di kantin waktu murid ramai. Waktu lapang, silakanlah, waktu sesak tak payah!
Kau lihat gambar terakhir, itu gambar ibu bapa murid sekolah aku. Tidak berani mereka duduk mengambil hak murid-murid aku kerana aku berpesan dengan tegas.
“Jangan sesekali duduk di kerusi kantin selagi ada murid masih berdiri mencari tempat duduk. Jika ada ibu bapa duduk, sedangkan murid tercari-cari tempat, aku akan marah,” itu yang aku ungkapkan di hari orientasi beberapa hari lepas dan diulangi berkali-kali menandakan aku memang serius tentang hal ini.
Semalam, hari pertama nampaknya semua ibu bapa murid aku faham. Mereka ajar anak mereka membeli, mereka ajar anak mereka menerima baki, mereka suap anak mereka dengan penuh kasih sayang, namun mereka tidak duduk selagi ada murid berdiri mencari tempat.
Tahniah buat ibu bapa murid Sk (1) Gombak atas kerjasama erat ini.
Guru-guru Tahun Satu seluruh negara, sila bertegas dengan hal ini. Jangan biarkan ibu bapa yang tiada perasaan terus menerus ambil hak anak-anak murid kita.
Gambar pertama kiriman sahabat. Sekolah tidak dapat dikenal pasti. Kalau aku tahu pun, aku rahsiakan juga. Ada benda boleh bertolak ansur, ada benda memang kena bertegas.
Sumber: FB Cikgu Mohd Fadli Salleh via TheReporter via https://theklasik.com
Post a Comment