Kematian Tragis Zara, Didera Suami Pengasuh. Netizen Desak Jangan Mansuhkan Hukuman Mati
Kematian Tragis Zara, Didera Suami Pengasuh. Netizen Desak Jangan Mansuhkan Hukuman Mati |
Kes bayi perempuan berusia 11 bulan maut dipercayai akibat didera suami pengasuh mengundang perasaan marah dan empati dalam kalangan netizen di seluruh negara, dengan kebanyakan mereka mendesak pelaku terlibat dikenakan hukuman berat.
Perbuatan tidak berperikemanusiaan itu mendapat perhatian ramai netizen selepas berita kematian Nur Muazara Ulfa Muhammad Zainal, tular di laman sosial seperti Facebook dan WhatsApp sehingga ada yang mendesak kerajaan agar jangan memansuhkan hukuman mati.
ARTIKEL MENARIK: Leka Dibuai Nafsu Songsang. Dua Lelaki Mengaku Positif HIV..
Rata-rata netizen berasa berang dengan kejadian tragik menimpa bayi malang itu, yang meninggal dunia pada Jumaat selepas dua hari berada dalam keadaan kritikal di Hospital Serdang akibat didera secara fizikal dan seksual oleh suami kepada pengasuhnya.
Majoriti juga mempersoalkan apakah yang sudah berlaku dalam masyarakat Malaysia hari ini sehingga berulang lagi kejadian bayi didera, dan lebih tragis mengalami penderaan seksual sehingga maut.Melemparkan pelbagai komen dan reaksi marah, mereka mendesak kerajaan mempertimbangkan semula hasrat untuk memansuhkan hukuman mati bagi menangani kes-kes seumpamanya.
Seorang pengguna Facebook, Ina Usop menggesa kerajaan tidak memansuhkan hukuman mati mandatori dan sebaliknya melaksanakan hukuman ini kepada pesalah yang melakukan kesalahan seperti dalam kes sedemikian.
“Kerajaan jangan mansuhkan hukuman mati sedangkan sekarang ini pun ramai yang kejam apa lagi kalau dimansuhkan,” katanya.Menggunakan nama samaran, Ua Cik Puan Timaa dalam komennya: “nampaknya kes dera bayi dah bermaharajalela. Sebab pe jadi cam tu? Sebab tindakannya terlalu ringan… lao dah sampai mati bayi tu hukum mati jugaklah pada pendera. Undang-undang leh dibayar agaknya.”
Seorang netizen dari Kota Kinablu, Steve Roger menyatakan bahawa penagih dadah yang sudah mempunyai rekod lampau dalam kes begini harus menjalani hukuman penjara seumur hidup seperti banduan yang menjalani hukuman berat.
“Sudah tiba masanya penagih dadah tegar yang berulang alik keluar masuk pusat serenti dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup seperti banduan-banduan jenayah berat. Lebih-lebih lagi yang ada menyebabkan kes fizikal seumpama ini,” katanya dalam komen di Facebook.
Tidak kurang juga yang emosi mahu wajah pesalah dan suaminya, yang kini ditahan reman sehingga Selasa, untuk membantu siasat kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dihebahkan kepada awam.
Nnur Mohamad berharap wajah mereka didedahkan supaya langkah awal dapat diambil dengan tidak lagi menghantar anak-anak untuk diasuh di sana lagi.
“Tolong bagi tahu nama dan dedahkan muka mereka agar orang lain tidak menghantar anak masing-masing kepada mereka untuk diasuh,” katanya.
Terdapat juga desakan yang mahu kerajaan menggubal peraturan lebih tegas berkaitan pengasuh bayi.Rosman Kjs berkata : “kerajaan kena buat satu ketetapan setiap pengasuh kena ada satu kelayakan dan ujian utk melayakkan diri mereka menjadi pengasuh bilangan bayi atau kanak-kanak yang dijaga mestilah mengikut had dan dapatkan latar belakang pengasuh dan keluarganya dengan detail perkara ini mesti diambil berat.” – Bernama
Post a Comment