Bob Lokman Hilang Nikmat Kerana Sombong, Isteri Pula Cabut Lari Namun Syukur. Allah Masih Sayang
Bob Lokman Hilang Nikmat Kerana Sombong, Isteri Pula Cabut Lari Namun Syukur. Allah Masih Sayang |
ROCK dan Bob Lokman… ia ibarat makanan yang tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan manusia.
Kerana kecintaannya kepada irama muzik itu, tiada satu pun kelab rock di negara ini yang tidak dikunjunginya. Begitu juga poster-poster penyanyi dan kumpulan rock yang semestinya menjadi koleksi simpanan.
ARTIKEL MENARIK: Wajah terbaru Mazuin Hamzah yang dulu terkenal kerana kecantikannya bekas Isteri Pengiran Sufri..
Nama Bob Lokman dalam dunia muzik tempatan juga bukanlah asing. Lirik lagu Isabella nyanyian Amy (Search) sebagai contoh antara karya yang benar-benar mengangkat namanya sehinggakan ia dijadikan filem dengan judul berkenaan.
Selain Isabella, dia mencipta nama dengan lagu Taman Rashidah Utama (Wings), Rendang Tak Berbuah (Hattan) adalah antara lagu yang mendapat sentuhan emas Bob atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman.
“Saya peminat muzik rock, di mana kelab yang ada main muzik rock, saya pasti akan sampai.
“Saya pernah ada komputer riba yang menyimpan lagu-lagu rock yang boleh didengar secara berterusan selama 12 hari,” kata penulis lirik itu ketika ditemui di kediamannya di Sungai Buloh, Selangor.
Namun begitu, kecintaannya pada rock selepas 20 tahun berubah tiba-tiba apabila dia membuat kejutan dengan menarik diri sebagai juri tetap rancangan Raja Lawak musim kelima iaitu pada 2011 ketika ia sedang bersiaran langsung.
Sewaktu Bob membuat keputusan mendadak itu, dia sebenarnya sudah mula memperlahankan rentak kerjayanya dan mendekati cara hidup yang menjurus kepada hal ehwal agama Islam.
Bob seolah-olah tersedar daripada mimpi, muzik rock yang menjadi nadi hidupnya sebelum ini telah dianggap sebagai sesuatu yang melalaikan.
“Sekarang saya dah tak simpan poster penyanyi rock, semuanya saya dah buang. Laptop yang penuh lagu tu pun saya pecahkan,” ujarnya.
Punca penghijrahan Bob bermula ketika dia disahkan lumpuh pada 1997 selama setahun pada usia 33 tahun.
“Bermula daripada lumpuh tu datang masalah-masalah lain, kemudian saya kena sakit jantung dan darah tinggi.
“Saya kuat merokok. Itulah takdir yang saya pilih dan bukannya yang Allah tetapkan. Kita boleh memilih takdir, kalau kita pilih takdir macam ni, maka kita dapatlah akibat dia,” katanya.
Selepas mengalami lumpuh, Bob diuji pula dengan keretakan rumah tangga.
Baginya, ujian kesihatan dan kewangan tidak sebesar dugaan kehilangan seorang isteri.
“Isteri saya lari, tinggalkan saya dengan anak-anak yang masih kecil sebab dia rasa saya tiada masa depan. Benda tu menjadi satu ujian paling besar sehingga saya hilang arah selama hampir 12 tahun,” luah Bob yang akhirnya berkahwin lain.
Perpisahan itu membuatkan Bob mengimbau kembali lirik-lirik lagu yang pernah ditulisnya.
Dia menghasilkan sebanyak 350 lagu yang kebanyakannya berkisar tentang kekecewaan dan putus cinta.
Bob dimasukkan ke hospital akibat masalah paru-paru dan jantung. – Foto Facebook Bob Lokman
“Rupa-rupanya apa yang saya tulis tu jadi balik pada diri saya sehingga saya tak boleh menulis lagi dah. Saya tulis dulu sebelum cerita berlaku, jadi saya anggap ia sebagai satu kifarah kepada saya,” ujarnya.
Pada 2004, Bob mula terdetik untuk melarikan diri daripada dunia popular.
“Saya terfikir macam mana nak berubah, tak nak lagi jadi popular, tak nak cari makan dengan cara yang sombong sebab saya sombong ketika saya popular.
“Saya jarang senyum dan memilih orang untuk berkawan, saya tak kawan dengan orang bodoh, saya tak mendekatkan diri dengan mereka lebih-lebih lagi kalau nak minta bantuan saya,” jelasnya.
Bagaimanapun teguran daripada seorang ulama membuatkan dia akhirnya tersedar.
Mohamad Adam mempunyai sejarah lampau mengidap ketumbuhan di otak. – Foto Facebook Bob Lokman
“Ulama tu kata ‘Bob Lokman ni dulu orang yang sombong’. Saya tanya, ‘ye ke ustaz?’ Dulu ustaz tu nak tegur saya pun segan.
“Apabila datang teguran tu saya pun berfikir, betullah saya seorang yang sombong. Dan bermula dari situlah bermulanya proses hijrah saya,” katanya yang membuat keputusan untuk berubah menjadi lebih baik.
Bob kini bergantung dengan tabung oksigen untuk bantuan pernafasan ketika tidur dan terpaksa mengambil 13 jenis ubat dengan kos lebih RM1,000 sebulan.
Walaupun pada hakikatnya Bob sering terlantar sakit, namun takdir mendahului segalanya apabila anak sulung yang menjaganya selama ini dijemput Ilahi pada 5 Oktober lalu.
Mohamad Adam, 25, yang mempunyai sejarah mengidap ketumbuhan di bahagian otak ketika kecil telah meninggal dunia selepas rebah di beranda rumah mereka yang terletak di Saujana Akasia, Sungai Buloh.
Biarpun sedih dengan kehilangan anak yang menjaganya selama ini, namun Bob bersyukur pada usia lanjutnya, Allah menggerakkan hatinya untuk menjadi lebih baik.
Sumber: Mstar Online
Post a Comment