‘Ratusan kontrak berat sebelah ditandatangani ketika BN memerintah’ – Tommy Thomas
‘Ratusan kontrak berat sebelah ditandatangani ketika BN memerintah’ – Tommy Thomas |
KUALA LUMPUR: Peguam Negara, Tommy Thomas mendedahkan ratusan kontrak berat sebelah ditandatangani ketika pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
*Video sekadar hiasan. Artikel penuh di bawah
Beliau berkata terdapat pegawai dari Pejabat Peguam Negara yang membantah kontrak perjanjian berat sebelah itu, namun tetap diteruskan oleh kementerian terbabit.
ARTIKEL MENARIK: Media Arab pun hairan dan pelik kes RM2.6 bilion wang derma daripada Kerajaan Arab Saudi kepada Najib Abdul Razak. Ini puncanya
“Secara dalaman, terdapat ratusan kontrak sedemikian (berat sebelah). Tetapi apa yang kita tidak sedari adalah jumlah sebenar kontrak berkenaan. Kita ada kontrak lebuh raya, perkhidmatan, inisiatif kewangan swasta bagi pembinaan-penyewaan-penyelenggaraan dan pemindahan (46 kontrak), pelabuhan dan lain-lain.
“Banyak kategori iaitu lebih 350 kontrak yang berat sebelah. Juga, kontrak perolehan yang mana lebih daripada 300 kontrak,” katanya yang dipetik daripada portal berita, hari ini.
Beliau berkata, terdapat beberapa pegawai dari Pejabat Peguam Negara tidak berpuas hati tetapi tetap dilaksanakan oleh menteri yang terbabit.
“Mereka (pegawai) adalah wira tak didendang. Mereka adalah penjawat awam, dan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan sebelum ini hanya menolak mereka,” katanya.
Katanya, walaupun pegawai berkenaan sudah biasa dengan kontrak berkenaan, namun masalah berhubung perjanjian itu adalah berat sebelah dan tidak menguntungkan kerajaan.
“Kita cuba untuk menjadi kreatif. Sekurang-kurangnya dua atau tiga kali seminggu, saya akan meluangkan masa untuk penilaian kontrak oleh peguam.
“Pengalaman litigasi komersial korporat saya digabungkan dengan penggubal undang-undang dan penasihat teknikal di Pejabat Peguam,” katanya.
Tommy turut mengambil contoh projek inisiatif kewangan swasta (PFI) yang bernilai RM350 juta dan dianggarkan tempoh pelaksanaan selama tiga tahun.
“Sama seperti anda membina sebuah rumah, jadi pembayaran akan dibayar kepada sijil arkitek secara beransur-ansur. Selepas tiga tahun, XYZ hilang dan menerima bayaran sebanyak RM350 juta dan kami menerima projek yang dibina di atas tanah kami,” katanya.
Beliau berkata, di bawah PFI yang mempunyai kontrak pembinaan selama 22 tahun, kerajaan perlu terus membayar untuk penyelenggaraan dan caj lain.
Tommy berkata perjanjian itu adalah tidak masuk akal dalam sektor komersil.
“Kesannya adalah kerajaan (pembayar cukai) perlu membayar secara tiga kali ganda lebih banyak. Jadi, dalam contoh RM350 juta, kerajaan membayar RM1.1 bilion dalam tempoh lebih 22 tahun, berbanding RM350 juta dalam tempoh tiga tahun.
“Seperti yang dikatakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini, ‘siapakah yang melakukan semua kontrak bodoh ini?’,” katanya.
Dr Mahathir mendakwa pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mengadakan perundingan kontrak dan perjanjian berat sebelah.
Beliau dilaporkan berkata, kebodohan sedemikian tidak pernah dilihat dalam sejarah Malaysia.
Dr Mahathir turut mengkritik dua projek saluran paip gas oleh Suria Strategic Energy Resources (SSER) di mana wang yang dibayar berdasarkan garis masa dan bukannya kerja siap.
“Saya tidak pernah mendengar kontrak yang anda bayar tepat waktu tanpa kerja (sedang) dilakukan. Biasanya, kita membayar mengikut kerja yang dilakukan. Jenis kebodohan apakah ini? ” katanya.
Sumber: BH
Post a Comment