PERMAISURI – “Kami tidak terlalu memikirkan keuntungan besar kerana hasrat kami memberi semua orang peluang merasai udang celup tepung pada harga murah,” kata Zainab Mohamed, 27, pemilik Kedai King Trizai Celup Tepung di Pantai Penarik, semalam.
60 ekor RM10, udang celup tepung viral di Penarik kini lebih murah |
Zainab berkata, hasratnya itu sekali gus mengubah persepsi segelintir masyarakat dan pelancong yang beranggapan negatif bahawa udang celup tepung mahal dan hanya mampu dimakan golongan tertentu.
Istimewanya udang celup tepung dijual di situ berbanding kedai lain kerana harga ditawarkan sangat murah iaitu 45 hingga 60 udang dengan hanya RM10 sehingga menjadi tular di media sosial dan mendapat komen positif pelanggan.
ARTIKEL MENARIK: Ucapan Merdeka Najib Tiba2 Terhenti selepas disampuk Rosmah. Ini ayat padu Rosmah yang buat Najib berhenti berucap
Zainab berkata, pendekatan diambil bersama suami, Mohd Fitri Md Yusof, 32, itu mendapat sambutan sangat menggalakkan, justeru kedainya dikunjungi ramai pelanggan termasuk dari Kelantan, Pahang, Selangor, Johor dan Singapura.
“Kami sengaja menjualnya dengan harga rendah dengan harapan orang yang kurang berkemampuan terutama yang mempunyai ramai anak boleh menikmati udang celup tepung. Malah, kami turut menyediakan air sirap dan teh ais kosong secara percuma kepada pelanggan.
“Mereka hanya perlu membayar RM10 untuk 45 hingga 60 udang celup tepung, sementara air boleh diperoleh secara percuma. Justeru semua orang boleh menikmati hidangan ini tanpa perlu menyediakan wang lebih,” katanya.
Tambahnya, tawaran harga murah itu juga secara tidak langsung mengubah tanggapan negatif segelintir pihak yang mendakwa peniaga hidangan celup tepung di Pantai Penarik gemar mengenakan harga yang mahal kepada pelancong luar.
“Kerap kami mendengar rungutan pelanggan kononnya peniaga meletakkan harga yang mahal untuk hidangan celup tepung itu sedangkan ia tidak berlaku di Pantai Penarik. Justeru menyedari masalah itu, saya dan suami sepakat untuk mempromosikan hidangan dengan harga murah,” katanya.
Menurutnya, ramai bertanya mengenai keuntungan diperoleh hasil penawaran harga seperti itu kerana disifatkan terlalu murah dan luar biasa.
“Keuntungan tetap ada, tetapi tidak banyak. Lagi pun kami boleh mengimbanginya dengan jualan makanan lain yang turut disediakan termasuk pelbagai jenis mi segera dan masakan panas.
“Melihat sambutan sangat menggalakkan itu kami bercadang mempromosikan hidangan sotong celup tepung pula dalam tempoh terdekat bagi mempelbagaikan hidangan yang boleh dinikmati pelanggan pada harga murah,” katanya.
Kredit : Wowberita
Post a Comment