Kastam sahkan Tabung Amanah GST kekurangan RM19.4 bilion

Kastam sahkan Tabung Amanah GST kekurangan RM19.4 bilion

PUTRAJAYA – Tabung Amanah bayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST) mengalami kekurangan RM19.4 bilion berikutan hanya RM63.5 bilion daripada RM82.9 bilion keperluannya telah dipindahkan ke tabung itu daripada Kumpulan Wang Bersatu Kerajaan Persekutuan.

Kastam sahkan Tabung Amanah GST kekurangan RM19.4 bilion
Kastam sahkan Tabung Amanah GST kekurangan RM19.4 bilion

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T. Subromaniam berkata, keperluan bayaran balik GST sebanyak RM82.9 bilion bagi tempoh dari 1 April 2015 sehingga 31 Mei 2018 itu telah dilaporkan dalam Mesyuarat Tabung Amanah Bulanan yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan namun jumlah penuh tidak dipindahkan.

“Daripada keperluan pembayaran balik GST sebanyak RM82.9 bilion yang telah dilaporkan, hanya RM63.5 bilion pembayaran balik GST telah dibayar melalui Tabung Amanah bagi sepanjang tempoh yang sama.

ARTIKEL MENARIK:  Melayu akan tolak Umno jika pinggirkan Najib – NGO


“JKDM (Jabatan Kastam Diraja Malaysia) ada menuntut RM82.9 bilion daripada Mesyuarat Tabung Amanah Bulanan ini untuk tujuan pembayaran balik GST dalam tempoh 1 April 2015 sehingga 31 Mei 2018 tetapi jumlah penuh tidak dipindahkan ke Tabung Amanah.

“Oleh itu, pada 31 Mei 2018, Tabung Amanah masih memerlukan dan mengalami kekurangan untuk membayar tunggakan bayaran balik cukai GST sebanyak RM19.4 bilion,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.


Ujar beliau, semua kutipan GST dimasukkan dalam Kumpulan Wang Bersatu Kerajaan Persekutuan yang kemudiannya akan dipindahkan kepada Tabung Amanah untuk membolehkan pembayaran balik GST dapat dilaksanakan.


Kelmarin, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) dalam sidang Dewan Rakyat mendakwa bahawa wang bayaran balik GST berjumlah RM19.4 bilion telah hilang akibat ‘dirompak’ di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Menjawab dakwaan berkenaan, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam berkata, wang bayaran balik GST itu tidak hilang, sebaliknya digunakan untuk tujuan pembangunan.

Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar semalam turut menyatakan wang tersebut tidak hilang kerana kutipan GST perlu dimasukkan dahulu ke dalam Kumpulan Wang Disatukan dan keperluan dana yang dimasukkan ke Tabung Amanah dibuat berdasarkan Mesyuarat Pengurusan Aliran Tunai Kerajaan Persekutuan yang diadakan setiap bulan. – UTUSAN ONLINE

-----------------------------------------------------------------

Post a Comment

Previous Post Next Post