“Arwah merajuk betul dengan saya kali ini, katanya saya tidak pernah puji dia kemas rumah lalu berkeras segera kembali ke Melaka, malah tidak mengendahkan bapanya yang memujuk supaya ke Melaka lewat petang,” kata Suhaila Maasam, 50.
Merajuk dengan ibu sebelum ajal |
Katanya, dia tidak menyangka rajuk anak kedua dari empat beradik itu menjadi petanda Intan Syahira akan meninggalkan mereka selama-lamanya.
“Anak saya meninggalkan rumah keluarga kira-kira 4 petang semalam untuk pulang ke Melaka kerana berkerja hari ini.
“Sebelum itu, arwah ada cakap, mak tak pernah puji angah setiap kali tolong mak,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Melaka, hari ini.
ARTIKEL MENARIK: Minta beli mercun, lakar gambar kepala
Ketua Menteri Adly Zahari turut meluangkan masa menziarah keluarga mangsa.
Suhaila berkata, anak perempuannya menyewa di Bukit Beruang dan bekerja di kilang pembuatan barangan elektronik di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh.
Sementara itu, bapa mangsa Ahmad Safri Baharudin, 50, berkata, sebelum bekerja di Melaka, anak perempuannya berkerja di restoran makanan segera di Gemas, Negeri Sembilan.
“Hari ini hari pertama dia masuk kerja selepas cuti Aidilfitri. Baru lima bulan dia bekerja di kilang berkenaan,” katanya yang kelihatan sugul.
Dalam kejadian 7.45 pagi itu, Intan Syahira menunggang motosikal dari Bukit Beruang ke Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, untuk ke tempat kerja dalam keadaan hujan lebat dan berangin.
Sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa yang menunggang ditimpa dahan pokok hiasan di bahu jalan yang patah dipercayai akibat ribut.
Difahamkan, orang ramai yang melalui tempat kejadian menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Ayer Keroh, bagi mengalihkan dahan di atas jalan, sebelum menemukan mangsa dan motosikal di bawah rimbunan itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh PKPgB Hamdan Sudin berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Mohd Kamal Zainal ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Sumber : Muka Media
Post a Comment