Tindakan akan dikenakan terhadap hospital swasta tertukar bayi – Ketua Pengarah Kesihatan
Tindakan akan dikenakan terhadap hospital swasta tertukar bayi – Ketua Pengarah Kesihatan |
Siasatan awal Kementerian Kesihatan di hospital swasta Bandar Darulaman, Kedah dimana berlakunya insiden tertukar bayi mengesahkan wujudnya kelemahan dalam pengendalian bayi di wad dan ketidakpatuhan prosedur discaj.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, walaupun isu itu diselesaikan pihak hospital itu, pihaknya tetap memandang serius insiden berkenaan.
“Sehubungan itu kementerian telah mengeluarkan arahan penambahbaikan serta-merta kepada pihak hospital tersebut bagi mengelakkan hal yang sama berulang.
“Kementerian akan mengambil tindakan lanjut sewajarnya mengikut Akta Kemudahan Dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) terhadap hospital berkenaan setelah hasil siasatan dimuktamadkan kelak,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Dr Noor Hisham berkata, insiden tersebut tidak sewajarnya berlaku kerana mengikut Akta 586 telah menetapkan keperluan perundangan berkaitan pengenalan diri pesakit.
“Pihak hospital swasta perlu memastikan mana-mana ibu dan bayinya yang baru lahir diberi pengenalan diri melalui tag nama atau apa-apa peranti lain yang sesuai, yang mengandungi maklumat termasuk nama penuh ibu serta tarikh lahir dan jantina bayi.
“Tanda pengenalan diri ini perlu disemak terutamanya semasa apa-apa pengendalian bayi dan sebelum meninggalkan bilik bersalin dan/atau wad,” katanya.
Beliau berkat, walaupun pihak hospital berkenaan telah mematuhi keperluan tatacara pengenalan diri ibu-ibu dan bayi-bayi terlibat, terdapat kegagalan di pihak kakitangan hospital dalam mematuhi prosedur kerja yang telah ditetapkan.
Pada 8 Januari lalu, beberapa akhbar melaporkan mengenai seorang ibu yang melahirkan anak di hospital swasta mendapati bayi yang dibawa pulang bukan bayinya selepas beberapa jam berada di rumah.
Susulan itu juga, kata Dr Noor Hisham, kementerian berharap supaya pihak hospital swasta tersebut dapat melaksanakan tatacara penyelesaian yang sebaik-baiknya bagi semua pihak yang terlibat dengan insiden tersebut.
Selain itu, hospital wajib mematuhi arahan pekeliling yang dikeluarkan pada September 2007 iaitu Garispanduan Sistem Kawalan Keselamatan Bayi Di Hospital-Hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengelak kejadian sama berulang.
Ia sebagai panduan untuk sistem kawalan keselamatan bayi di hospital-hospital KKM termasuk memastikan keselamatan bayi di wad terjamin, tiada kehilangan atau penukaran bayi berlaku sepanjang bayi berada di dalam wad sehingga discaj.
Pekeliling tersebut telah disemak semula dan arahan telah dikeluarkan kepada semua Jabatan Kesihatan Negeri untuk mematuhi garispanduan tersebut.
Berikut adalah proses kawalan keselamatan bayi di hospital-hospital KKM untuk mengelakkan terjadinya pertukaran bayi.
A. Sebelum Kelahiran
– Menerima maklumat kemasukan dan status ibu. Semua kemasukan ibu ke wad bersalin dipakaikan tag nama yang diperolehi dari Pejabat Daftar Masuk.
– Tag nama sementara untuk bayi disediakan dan sentiasa dikepilkan bersama laporan perubatan ibu.
– Untuk ibu yang menjalani kelahiran Caesarean, pengesahan nama akan dibuat di hadapan ibu semasa ibu di dewan bedah, iaitu sebelum ibu dibius.
B. Semasa kelahiran
– Kelahiran disambut oleh pegawai perubatan / anggota kebidanan bertauliah / pelatih di bawah jagaan.
– Setelah bayi dilahirkan, jantina bayi terus ditunjukkan kepada ibu dan disahkan oleh ibu jantina bayinya.
– Bayi dikeringkan dan diletakkan dalam pelukan ibu.
– Tunjuk dan pasangkan tag nama pada pergelangan kaki bayi dengan serta merta di hadapan ibu.
C. Selepas kelahiran
– Ibu dan bayi akan dipindahkan ke wad post-natal, bayi diperiksa dan disahkan betul berpandukan kepada dokumen-dokumen berikut :
: Borang kemasukan bayi
: Kad pengenalan / passport ibu
: Kad antenatal KIK 1(a)/96 (jika ada) Tag nama pada ibu dan bayi
– Tag nama pada ibu dan tag nama pada bayi akan dipastikan betul semasa penyerahan ibu dan bayi ke wad post-natal.
– Sepanjang kemasukan sehingga ibu dan bayi discaj, kedua-dua tag nama sentiasa terpasang.
D. Proses discaj
– Semasa discaj, pemeriksaan hendaklah dibuat oleh jururawat yang menguruskan discaj.
– Jururawat akan menyediakan Borang Pengenalan Discaj Bayi untuk semakan pengawal di pintu keluar.
– Ibu bapa atau waris yang akan membawa bayi keluar dari wad akan menurunkan tandatangan dalam buku rekod dan mengisi maklumat maklumat yang perlu.
– Jururawat akan memberi arahan supaya ibu bapa atau waris menunjukkan Borang Pengenalan Discaj Bayi untuk semakan pengawal di pintu wad dan pengawal di pintu utama bangunan hospital. Bagi bayi yang ibu bapanya tiada, penjaga yang sah mesti mendapat kebenaran bertulis daripada Pegawai Kebajikan atau Pengarah Hospital.
– Pengawal bertugas di pintu keluar wad akan menyemak dan akan meminta ibu bapa atau waris untuk menurunkan tandatangan dalam buku rekod yang mengandungi beberapa maklumat.
– Pemeriksaan dan penyemakan terakhir akan dibuat oleh pengawal di kaunter pintu utama hospital.
– Tag nama ibu dan bayi akan dipakai sehingga sampai ke rumah dan pemotongan tag nama akan dilakukan oleh ibu bapa apabila bayi dan ibu sampai di rumah.
Sumber: Mstar
Post a Comment