Betulkah hisap VAPE lebih cepat mati berbanding ROKOK?

Betulkah hisap VAPE lebih cepat mati berbanding ROKOK?

Menghisap rokok elektronik atau vape adalah berbahaya kerana ia boleh menghalang saluran udara di dalam paru-paru, kata Prof Datuk Dr Abdul Razak Muttalif daripada Institut Perubatan Respitori (IPR) di tengah-tengah kontroversi susulan usaha beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) mengharamkan vape di beberapa negeri.

Betulkah hisap VAPE lebih cepat mati berbanding ROKOK?
Betulkah hisap VAPE lebih cepat mati berbanding ROKOK?
Selain menyebabkan saluran pernafasan paru-paru tersumbat, menurut pakar perunding respiratori itu, bahan kimia yang digunakan dalam cecair vape, iaitu diasetil boleh menyebabkan gangguan pernafasan bronkiolitis obliteran.



Bahan itu katanya akan menyebabkan saluran pernafasan tersumbat dan akhirnya memberi kesan kepada jantung.

"Bila saluran tersumbat, oksigen tidak akan masuk ke dalam paru-paru. Apabila oksigen tidak masuk ke paru-paru, maka oksigen tidak akan masuk ke jantung.

"Dan apabila ia tidak dapat masuk ke jantung, maka individu itu akan mendapat kurang oksigen dalam badan," kata Dr Razak dalam satu temubual bersama The Malaysian Insider.

Katanya, ia berbeza dengan pesakit asthma atau lelah dan perbuatan menghisap rokok biasa yang menyempitkan saluran pernafasan pada paru-paru.

"Bagi pesakit asthma, kalau makan ubat, saluran pernafasan yang sempit akan kembali kembang. Ia berbeza dengan kimia dalam perisa vape yang akan menjadikan saluran pernafasan terus tersumbat.

"Asap rokok juga akan beri kesan sempitkan saluran udara sama seperti pesakit asthma. Tetapi asap rokok bukan sahaja sempitkan saluran malah akan merosakkan paru-paru," katanya ketika menjelaskan mengenai kesan vape dan rokok terhadap paru-paru.

Sebelum ini, kajian Universiti Harvard mendedahkan bahan kimia dalam cecair vape itu dikaitkan dengan penyakit paru-paru.

Kajian jurnal perubatannya Perspektif Kesihatan Alam Sekitar turut mendapati diasetil ditemui dalam 39 daripada 51 perisa rokok elektronik.

Menurut kajian itu, selain diasetil, bahan lain yang ditemui ialah 2,3-pentanedione (pengganti diasetil) dan asetoin, bahan yang selalu digunakan dalam pembuatan karamel, butterscotch dan perasa strawberi.

Bersetuju dengan kajian tersebut, Dr Razak berkata beberapa universiti awam di Malaysia sedang membuat kajian terperinci mengenai kesan bahan perisa vape tersebut.

Namun, katanya ia akan mengambil masa yang lama untuk mendapatkan keputusannya.

Oleh itu, beliau menegaskan isu yang lebih penting ialah vape terbukti mempunyai kesan buruk dan memudaratkan penghisapnya.

Katanya, perbezaan ketara antara rokok dan vape adalah kewujudan tar dalam rokok yang membahayakan kesihatan, namun apa yang menjadi kebimbangan adalah peningkatan trend menghisap vape secara mendadak di negara ini.

Bukan itu sahaja, ia ditambah lagi dengan kurangnya pengawalan ke atas penjualan cecair vape yang mudah didapati dan ini mengundang masalah lebih teruk.

"Bayangkan dalam masa setahun, hampir sejuta penghisap vape di dalam Malaysia. Penghisap rokok pula jumlahnya sekitar 5 juta orang secara keseluruhan.

"Mungkin penghisap vape akan lebih ramai daripada perokok selepas ini. Kita tidak mahu tunggu dan lihat kesan vape pada masa jangka panjang," katanya sambil menyifatkan kebanyakan penghisap vape tidak mengetahui secara terperinci kandungan perisa vape.

Industri vape kebelakangan ini menjadi popular dengan meningkatnya jumlah peniaga dan pembeli rokok elektronik itu.

Ramai perokok tegar dikatakan beralih arah kepada penggunaan vape kerana percaya rokok alternatif itu membantu mereka berhenti menghisap rokok yang dianggap lebih berbahaya.

Namun, sehingga kini saintis dan pegawai perubatan seluruh dunia berbeza pendapat berhubung kesan vape kepada kesihatan.

Awal tahun lalu, Public Health England, sebuah agensi di Jabatan Kesihatan United Kingdom, menggesa perokok beralih kepada vape kerana merasakan ia jauh lebih selamat berbanding rokok biasa.

Di Malaysia pula, Kementerian Kesihatan melahirkan kebimbangan dengan peningkatan penggunaannya di kalangan masyarakat terutama membabitkan mereka yang bukan perokok.


BACA ARTIKEL PENUH DI SINI DAN DI SINI

Post a Comment

Previous Post Next Post