Kes Bunuh Tapah: Mahkamah Benarkan 2 Beranak Direman Sehingga 29 Dis

Kes Bunuh Tapah: Mahkamah Benarkan 2 Beranak Direman Sehingga 29 Dis

IPOH – Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan mekanik dan anak lelakinya dalam kes pembunuhan empat individu di bengkel kenderaan di Jalan Pahang, Tapah ditahan reman sehingga 29 Dis ini.

Kes Bunuh Tapah: Mahkamah Benarkan 2 Beranak Direman Sehingga 29 Dis
Kes Bunuh Tapah: Mahkamah Benarkan 2 Beranak Direman Sehingga 29 Dis
Perintah tahanan reman ke atas mereka berdua bermula hari ini adalah di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) yang dikeluarkan oleh Majistret Suhaima Mohd Noor bagi membolehkan polis melakukan siasatan lanjut mengenai kes berkenaan.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Jeffrey Ong memohon tahanan reman diberikan kepada kedua-dua suspek berusia 57 dan 20 tahun itu atas alasan perlakuan jenayah yang disyaki dilakukan kedua-dua suspek amat kejam dan tidak berperikemanusiaan.

“Perlakuan ini amat merbahaya dan bersikap ‘jenayah kebiasaan’. Pembunuhan kejam yang dilakukan telah mendatangkan ketakutan dan kegusaran kepada penduduk setempat yang merasakan diri mereka turut terancam yang mana suspek tidak mengira rupa bangsa semasa melakukan jenayah,” katanya.

Kedua-dua mereka yang sebelum ini ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibebaskan semalam tetapi ditahan semula untuk siasatan lanjut pada hari yang sama.

Semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Datuk Goh Kok Liang berkata kedua-dua suspek dibebaskan atas nasihat Ketua Unit Pendakwaan Perak Yusaini Amer Abdul Karim susulan laporan ahli kimia tidak dapat mengesan DNA mangsa daripada serpihan tulang serta barang-barang lain yang dihantar untuk dianalisis.

“KUP (Ketua Unit Pendakwaan) menasihatkan pihak polis supaya meneruskan siasatan. Polis akan meneruskan siasatan sewajarnya,” kata Goh.

Kedua-dua suspek yang tiba di mahkamah dengan kereta polis pada pukul 8.50 pagi tadi dikawal ketat oleh anggota polis.

Mereka kemudian meninggalkan mahkamah kira-kira pukul 10.48 pagi untuk dibawa ke lokap Balai Polis Tapah.

Pada 26 Okt lepas, polis menahan empat suspek di sebuah rumah di kawasan bengkel kenderaan di Jalan Pahang, Tapah pada pukul 1.30 tengah hari susulan laporan kehilangan mangsa lelaki berusia 46 tahun yang bekerja sebagai pekebun dan ejen hartanah di Kampung Sungai Lah, Chenderiang dekat sini pada 25 Ogos lepas.

Dua lagi suspek iaitu isteri dan anak kepada mekanik itu yang sebelum ini ditahan reman bagi membantu siasatan, dibebaskan tanpa syarat pada 2 Dis lepas setelah didapati mereka tiada kaitan dengan pembunuhan itu. – BERNAMA


BACA ARTIKEL PENUH DI SINI DAN DI SINI

Post a Comment

Previous Post Next Post