Seremban: “Saya lebih selesa hidup seperti ini. Hidup gelandangan dan tidur di merata-rata tempat, biarpun mempunyai keluarga di Linggi dan Port Dickson,” kata Ridwan Mohamad yang ditemui dalam misi bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Food Not Bombs (FNB) Negeri Sembilan di perhentian bas di bandar ini, awal pagi semalam.
Luluh Hati Bila Mendengar Kata-kata Lelaki Ini.. "Jangan tanya pasal keluarga. Saya lebih selesa hidup begini" |
Ridwan, 63, berkata, dia pernah berkahwin, namun bercerai sebelum berhijrah ke Seremban dan bekerja dengan syarikat katering.
“Sudah enam bulan saya menjadi gelandangan di sini selepas tidak lagi bekerja kerana menghidap paru-paru berair. Keadaan bertambah sukar apabila kad pengenalan hilang menyebabkan saya tidak boleh mendapatkan rawatan di hospital.
“Jangan tanya pasal keluarga. Saya tidak berhasrat kembali ke Linggi,” katanya.
Seorang lagi gelandangan, M Ganesan, 60, berkata, dia sudah sebulan lebih menjadi gelandangan selepas dihalau ibu dan bercerai dengan isterinya di Nilai.
“Sebaik bercerai, saya cuba kembali ke rumah ibu, namun dihalau menyebabkan saya tidak mempunyai rumah dan menjadi gelandangan di sini.
“Saya tinggal sehelai sepinggang kerana semua pakaian dikebas penyamun ketika tidur di sini, minggu lalu,” katanya ditemui di Terminal Bas Seremban.
Sementara itu, gelandangan di pasar Seremban yang hanya mahu dikenali sebagai Chin, 63, berkata, dia bekerja dengan penjual sayur di pasar terbabit, namun tidak mampu berulang-alik ke rumahnya di Mantin.
“Disebabkan itu saya mengambil keputusan tidur di perhentian bas sejak enam bulan lalu. Adik saya ada memujuk supaya tinggal bersamanya, namun sukar kerana tempat kerja jauh, selain tidak mempunyai kenderaan.
“Saya terharu kerana setiap minggu kumpulan (NGO FNB) memberikan makanan kepada saya dan beberapa gelandangan lain,” katanya.
Sementara itu, Presiden FNB Mior Ahmad Shah Mior Shahidin berkata, pihaknya kerap mengadakan misi memberi bantuan makanan dan pakaian kepada gelandangan dan mereka yang memerlukan.
“Kami hanya pertubuhan sukarela dan misi ini dilakukan ahli FNB yang saban minggu berkumpul mengedarkan makanan dan pakaian terpakai sumbangan orang ramai,” katanya.
Post a Comment