ALOR SETAR – Wanita-wanita Rohingya yang ditahan di kem transit sindiket pemerdagangan manusia di Padang Besar, Thailand diperlakukan persis hamba seks.
Setiap Malam Wanita Rohingya Dirogol! – Pelarian |
Pendedahan itu dibuat oleh seorang wanita Rohingya, Nur Khaidha Abdul Shukur, 24, yang ditahan selama lapan hari bersama anaknya yang baru berusia beberapa bulan di kem transit itu.
“Setiap malam, dua atau tiga wanita muda Rohingya yang agak cantik, akan dibawa keluar dari kandang tahanan dan dibawa ke tempat tersembunyi oleh pengawal-pengawal kem itu.
“Wanita itu dirogol beramai-ramai oleh mereka (pengawal kem), malah di dalam kem itu, ada dua wanita muda yang telah mengandung dipercayai akibat perbuatan pengawal itu,” katanya kepada wartawan Bernama menerusi penterjemah di sini Isnin.
Menurut Nur Khaidha, ada juga di antara wanita-wanita itu yang “dibawa” oleh pengawal-pengawal kem berkenaan selama beberapa hari untuk menjadi mangsa kebuasan seks mereka.
“Mereka (wanita) akan ‘hilang’ selama dua hingga tiga hari selepas dibawa oleh pengawal itu. Selepas mereka dikembalikan ke kandang, saya tidak bertanya tetapi saya tahu apa yang telah terjadi kepada mereka.”
“Dari raut wajah mereka, kita tahu,” katanya dan menambah, wanita-wanita yang ditahan dalam kandang itu tidak dibenarkan bercakap di antara satu sama lain, atau akan dipukul.
Kedua-dua wanita Rohingya yang mengandung dipercayai akibat dirogol pengawal itu, kata Nur Khaidha, telah ditahan di kem transit itu lebih daripada enam bulan.
Katanya, di dalam kem transit itu di mana beliau ditahan pada tahun lepas, terdapat 15 wanita Rohingya mangsa sindiket itu, dengan lima daripada mereka mempunyai anak-anak kecil.
Kelima-lima yang mempunyai anak itu turut ditahan di dalam kandang bersama-sama anak mereka, tetapi tidak diapa-apakan oleh pengawal terbabit.
“Mungkin kerana kami mempunyai anak-anak kecil, maka pengawal-pengawal tidak bertindak merogol kami. Tetapi walau apapun, saya berdoa setiap hari agar tidak menjadi mangsa rogol mereka,” katanya.
Nur Khaidha, yang berasal daripada Maungdaw, Myanmar memberanikan diri menyeberangi Laut Andaman menaiki bot ke Malaysia bersama-sama anak kecilnya untuk menjejaki suaminya.
Beberapa bulan sebelum itu, suaminya, Nurul Amin Nobi Hussein, 25, telah menaiki bot dari Maungdaw ke Ranong, Thailand, dalam usahanya untuk menjejakkan kaki di Malaysia.
Tanpa diketahui oleh isterinya, beliau turut ditahan oleh sindiket pemerdagangan manusia di kem transit mereka di Bukit Wang Burma, Wang Kelian.
Berbanding Nur Khaidha yang ditahan selama lapan hari di kem transit di Padang Besar, suaminya pula telah ditahan di kem di utara tanah air itu selama 22 hari, sebelum nekad melarikan diri.
Nurul Amin yang kini bekerja di sebuah bengkel di Alor Setar berkata, keinginan mencari kehidupan yang lebih baik membuat beliau, isteri serta anak lelaki mereka bertaruh nyawa menaiki “bot-bot maut” ke Malaysia.
Sama seperti yang didedahkan oleh isterinya, Nurul Amin turut menceritakan kisah wanita Rohingya itu dirogol.
“Pada waktu malam, beberapa pengawal akan datang ke kandang-kandang yang menempatkan wanita itu dan menarik keluar mereka ke suatu tempat berdekatan.”
“Kami mendengar teriakan dan tangisan wanita-wanita itu kerana tempat di mana mereka dirogol amat hampir dengan kandang kami…cuma kami tidak dapat melihat,” katanya.
Kini hampir setahun berlalu, Nurul Amin dan isterinya, bersyukur kerana telah bebas dari azab dan sengsara di kem-kem pemerdagangan manusia.
Mereka tekad memulakan hidup baru. – BERNAMA
Post a Comment