Kajang: Rumah tangga anak berdepan masalah namun besan pula yang ‘berperang’. Itu yang berlaku apabila seorang wanita warga emas diserang besan lelakinya berusia 71 tahun.
Rumah tangga anak berdepan masalah namun besan pula yang ‘berperang’ |
Difahamkan kejadian berlaku berpunca perbalahan anak mereka yang dalam proses penceraian.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, pasangan berusia awal 40-an itu mengambil keputusan untuk berpisah sebagai jalan keluar selepas tiada lagi persefahaman antara mereka.
“Bagaimanapun perkara itu tidak dipersetujui bapa wanita terbabit yang bertegas meminta menantunya supaya tidak menceraikan anak perempuannya.
“Berikutan itu, lelaki berusia 71 tahun bersama dua lagi individu pergi ke rumah besannya untuk bertemu menantu lelakinya untuk mendapatkan penjelasan lanjut,” katanya.
Menurutnya, mangsa yang mendengar bunyi bising di luar rumah kemudian bertanya tujuan suspek datang ke rumahnya.
“Bagaimanapun, suspek bertindak menceroboh masuk melalui pintu pagar rumah. Besannya itu memberitahu tidak teragak-agak untuk mencederakan serta membunuh mangsa jika menantunya enggan keluar berjumpanya,” katanya.
Beliau berkata, mangsa kemudian cuba menghalang suspek daripada memasuki rumahnya sehingga menyebabkan berlaku pergaduhan.
“Suspek kemudian memukul bahagian belakang bahu selain menampar pipi mangsa.
“Berikutan itu, mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kajang di sini, sebelum suspek ditahan untuk siasatan kelmarin,” katanya.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan.
Metro
Post a Comment