KUALA LUMPUR: Cadangan menyelaraskan umur pengeluaran simpanan persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ahlinya hampir kepada usia persaraan 60 tahun dibuat khusus untuk menangani isu ketidakcukupan simpanan persaraan majoriti besar ahli apabila mereka bersara pada umur 55 tahun.
Pengeluaran pada umur 60 tahun: Kami tiada agenda tersembunyi - KWSP |
"KWSP tidak mempunyai sebarang agenda tersembunyi berhubung pelaksanaan isu Pengeluaran Umur 55 Tahun yang dicadangkan dinaikkan ke 60 tahun sepertimana, pandangan sesetengah fan FB KWSP yang mencurigai cadangan ini.
"Adalah penting dijelaskan di sini, bahawa perubahan kepada umur pengeluaran ini dibuat khusus untuk menangani isu ketidakcukupan simpanan persaraan majoriti besar ahli KWSP apabila mereka bersara pada umur 55 tahun," katanya di laman Facebook berkenaan.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, agensi itu sedang menimbang menyelaraskan umur pengeluaran simpanan persaraan ahlinya hampir kepada usia persaraan 60 tahun.
Kata Shahril, negara perlu menangani isu pengeluaran simpanan pada usia 55 tahun berbanding usia persaraan baharu pada 60 tahun, jika tidak ia akan menjadi bebanan kepada masyarakat untuk menguruskan orang-orang yang bersara tanpa wang yang mencukupi dalam akaun mereka.
Shahril memetik kaji selidik bebas yang dijalankan oleh pakar ekonomi serta penyelidikan dalaman KWSP yang menunjukkan rata-rata orang cenderung untuk menghabiskan simpanan persaraan mereka dalam tempoh tiga hingga lima tahun selepas membuat pengeluaran penuh.
Jelas laman itu, hasil kajian KWSP menunjukkan bahawa 70 peratus ahli KWSP yang mengeluarkan simpanan pada umur 55 tahun menghabiskan wang simpanan KWSP mereka antara 1 hingga 10 tahun selepas bersara.
"Sesungguhnya, perkara ini amat membimbangkan KWSP kerana keadaan ini akan menyebabkan ahli KWSP berada dalam kesempitan kewangan. Atas sebab itulah KWSP merupakan agensi yang bersungguh-sungguh menyokong agar had umur persaraan dilanjutkan kepada 60 tahun.
"Dalam hubungan ini, adalah tidak memberikan kesan yang bermakna kepada inisiatif meningkatkan simpanan persaraan ahli, jika Pengeluaran Umur 55 Tahun ini dikekalkan," ujar laman itu.
Dalam pada itu kata KWSP, sebarang perubahan terhadap Pengeluaran Umur 55 Tahun selaras dengan umur persaraan baru iaitu 60 tahun tidak akan berkuatkuasa serta-merta.
"Tempoh peralihan (grace period) yang sesuai akan diberikan kepada ahli untuk membuat persediaan dan penyesuaian terhadap perancangan kewangan untuk persaraan mereka," kata laman itu.
Tambah laman itu lagi, mereka juga tidak akan lagi memberikan sebarang ulasan berhubung dengan perkara ini sekiranya ia dibangkitkan sekali lagi melainkan satu keputusan baru dibuat mengenainya.
Pada Isnin, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong berkata kerajaan belum memuktamadkan untuk menetapkan had umur pengeluaran simpanan persaraan KWSP kepada usia 60 tahun.
Kata Tee Yong, perkara itu hanya cadangan daripada pihak KWSP, selaras dengan pelanjutan had umur persaraan yang ditetapkan kerajaan sebelum ini iaitu daripada 55 tahun kepada 60 tahun.
Dalam pada itu, Tee Yong turut mencadangkan agar had umur tersebut diturunkan daripada umur 55 tahun kepada 50 tahun. - Astro Awani
Post a Comment