MAS Jamin Keluarga MH370 Terima Pampasan Adil, Berpatutan

MAS Jamin Keluarga MH370 Terima Pampasan Adil, Berpatutan

KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines (MAS) tetap komited bagi memastikan pembayaran ganti rugi yang adil dan berpatutan kepada keluarga semua penumpang penerbangan MH370 mengikut undang-undang yang ditetapkan.

MAS Jamin Keluarga MH370 Terima Pampasan Adil, Berpatutan
MAS Jamin Keluarga MH370 Terima Pampasan Adil, Berpatutan
KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines (MAS) tetap komited bagi memastikan pembayaran ganti rugi yang adil dan berpatutan kepada keluarga semua penumpang penerbangan MH370 mengikut undang-undang yang ditetapkan.

Menurut syarikat penerbangan itu, wakil MAS akan menghubungi waris mangsa yang dilantik, untuk meneruskan proses pembayaran ganti rugi sejajar dengan perisytiharan rasmi penerbangan MH370 sebagai kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa, yang diumumkan hari ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, MAS berkata sumber lain juga sedang diuruskan di Pusat Sokongan Keluarga (FSC) yang diwujudkan di Kuala Lumpur.

Bagi kemudahan serta melancarkan lagi proses pembayaran ganti rugi ini, syarikat penerbangan itu turut menambah talian telefon selain bertindak proaktif mengemaskini dan menyalurkan perkembangan terkini kepada anggota keluarga mangsa di serata dunia.

FSC akan menjadi pusat perhubungan utama bagi waris di Malaysia dan pelusuk lain dunia serta menerusi pelbagai pejabat serantaunya, selain China.

Pesawat Boeing 777 itu yang membawa 12 anak kapal dan 227 penumpang, hilang daripada radar ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 pagi pada 8 Mac, 2014. Ia dijadualkan mendarat di Beijing pada 6.30
pagi hari yang sama.

Sementara itu, operasi di Pusat Komunikasi dan Sokongan Keluarga (FCSC) di Beijing, akan diteruskan dan bagi kemudahan ahli keluarga, ia turut menyediakan petugas tambahan yang boleh berbahasa Mandarin.

“MAS terus menyalurkan bantuan kepada keluarga penumpang dan anak kapal. Kami maklum bahawa tempoh ini amat getir bagi semua. Doa dan ingatan kami terus ada bersama keluarga 293 penumpang dan anak kapal penerbangan MH370,” katanya.
Pihak pengurusan dan kakitangan MAS turut berterima kasih kepada orang ramai yang terus memberi sokongan sepanjang tempoh serba mencabar ini.

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul dalam pengumumannya, berkata kerajaan Malaysia memberi jaminan bahawa MAS akan memikul tanggungjawabnya berhubung hak yang sah dan kepentingan waris sebagaimana diperuntukkan oleh instrumen antarabangsa dan undang-undang domestik, dengan turut mempertimbangkan amalan antarabangsa.

“Ini termasuk memenuhi proses pembayaran ganti rugi, sama ada ia dituntut melalui perundingan atau menerusi undang-undang.

“Kami juga difahamkan bahawa Malaysia Airlines bersedia untuk meneruskan dengan serta merta proses pembayaran ganti rugi, sekiranya para waris bersedia menerima langkah itu,” katanya.

Sejajar dengan komitmen memastikan para waris dimaklumkan berhubung perkembangan terbaharu dan maklumat sahih, satu seksyen khas telah diwujudkan dalam laman web rasmi MH370 http://www.mh370.gov.my, khusus bagi kalangan waris berkenaan.

Ia antara lainnya, termasuk maklumat mengenai usaha mencari dan siasatan, proses pembayaran ganti rugi, jawapan bagi pertanyaan waris serta pelbagai bentuk bantuan yang disediakan untuk mereka. – BERNAMA

Post a Comment

Previous Post Next Post