Lama menyimpan rahsia rumah tangganya yang sudah pun berakhir awal tahun ini, pelakon Dynas Mokhtar, 31, mengakui pernah mengalami masalah kemurungan lebih sebulan.
'Lebih sebulan melalui masalah kemurungan' - Dynas Mokhtar |
Dynas jumpa pakar jiwa
Berkahwin atas dasar cinta dan memperoleh dua anak pastinya memberi tamparan hebat buat Dynas Mokhtar apabila perkahwinan yang diharapkan berkekalan terputus di tengah jalan.
Bertemu pelakon tinggi lampai ini, Dynas kelihatan ceria malah sudi berkongsi pengalamannya sepanjang berada dalam kemurungan itu.
“Alhamdulillah pengalaman itu benar-benar mengajar saya. Kalau diikutkan ini adalah kemurungan kali kedua saya lalui, kali pertama ketika mengandungkan anak sulung yang meninggal dunia ketika usia kandungan saya tujuh bulan.
“Satu pengalaman yang sukar hendak dilalui dan bukan semua orang berjaya mengatasinya, namun daripada apa yang saya lalui baru-baru ini, nasihat saya segeralah berjumpa pakar jiwa jika terasa anda mengalami masalah kemurungan.
“Sesetengah orang berpendapat, berjumpa dengan pakar ini dikategorikan sebagai gila. Sebenarnya bertemu mereka memberi kita lebih banyak pendedahan untuk mengatasi apa yang dilalui di samping ada pendengar untuk berkongsi masalah kita.
“Lebih sebulan melalui masalah kemurungan, selepas bertemu pakar saya rasa hidup lebih selesa dan tenang,” katanya.
Dynas ketika ditemui pada majlis penghargaan selebriti bersama Alfio Raldo, baru-baru ini berkata, menariknya selepas berita mengenai masalah kemurungan yang dihadapinya dipaparkan di akhbar, dia mendapat banyak panggilan dan e-mel daripada rakan-rakan serta peminat yang mahu meminta padangan daripadanya.
“Ketika ramai yang menghubungi saya, saya fikirkan mereka hanya mahu beri semangat semata-mata, rupanya ada yang turut meminta pandangan dan berkongsi masalah sama yang mereka hadapi.
“Ramai mereka di luar sana yang tidak tahu apa patut mereka lakukan bila berdepan dengan masalah sehingga merasa diri berada dalam kemurungan.
“Apabila disuruh bertemu pakar mereka bimbang dikatakan gila. Namun, selepas masing-masing mendengar pendapat saya mereka sudah berani dan bersedia mengatasi masalah dialami,” katanya.
Bercakap mengenai perkembangan seninya, Dynas baru selesai menjalani penggambaran drama bersiri 3 Campur 2 yang akan ditayangkan di Astro Ceria selain sibuk menguruskan perniagaan butik pakaiannya.
“Alhamdulillah kini saya kembali sibuk dalam lakonan dan pengacaraan. Saya juga sedang dalam proses untuk membuat penjenamaan semula butik DNA saya. Segala-galanya masih dalam perancangan diharap ia berjalan lancar, insya-Allah,” katanya.
Post a Comment