Niatnya mahu memberi penjelasan mengenai apa sebenarnya berlaku di sebalik berita tangkap khalwat bersama teman lelaki, tetapi ia menjadi mimpi lebih buruk apabila dirinya terus diheret ke kancah kontroversi.
Saya Dijadikan Kambing Hitam Kata Puteri Mardiana.. |
Situasi menjadi buruk apabila isteri Ejum tampil memberi kenyataan mengatakan dia dan suami masih bersama. Dia juga menafikan dakwaan dia dan suaminya bercerai seperti kenyataan diberikan Mardiana.
Selain itu, timbul cerita pelakon filem Santau dan Sumpahan Kum Kum itu sebenarnya bermain cinta dengan dua lelaki dalam waktu sama, menyebabkan timbul perasaan tidak puas hati hingga memerangkapnya.
Terlalu banyak isu yang timbul dengan pelbagai versi membuatkan Mardiana tidak keberatan menjelaskan apa sebenarnya berlaku membabitkan hubungannya dengan Ejum yang masih berstatus suami orang dan bercinta dengan dua lelaki dalam waktu sama sewaktu dihubungi Selebriti, Metro Ahad.
Menjelaskan kedudukan Ejum, kata Mardiana, dia sering menemani kekasihnya ke mahkamah syariah sebelum ini bagi menguruskan urusan perceraian dengan isterinya.
“Saya mendengar penjelasan daripada Ejum dan peguamnya. Saya tahu keadaan dia dan isterinya macam mana. Isterinya nusyuz dan meninggalkan Ejum lebih lapan bulan.
“Sepanjang tempoh itu pun saya masih belum wujud, maksudnya saya dan Ejum belum bercinta. Ejum bercerita di depan penjaga anak mereka yang isterinya memberitahu dia bukan lagi isteri Ejum. Tiba-tiba bila berlaku perkara (ditangkap khalwat) dengan Ejum, alih-alih dia muncul dan memberi kenyataan.
“Sebelum ini siapa sebenarnya yang tidak mahukan meneruskan perkahwinan mereka dan mengapa tiba-tiba memberitahu sebaliknya kepada umum,” katanya.
Kata Mardiana, Ejum mendakwa sebelum ini dia cuba menyelamatkan rumah tangganya dan menjemput isterinya pulang, tetapi wanita itu menghalaunya.
“Isteri Ejum juga yang buat permohonan cerai dan cuba mengaibkan suaminya. Bukan itu saja, apabila di luar, saya dikhabarkan wanita itu memberitahu semua orang yang dia bercerai dengan Ejum. Disebabkan itu juga Ejum mengambil keputusan mengupah peguam.
“Sekarang apabila saya hadir dalam hidup Ejum, tiba-tiba dia cuba mengaitkan saya sebagai punca keruntuhan rumah tangga mereka. Mengapa saya dijadikan kambing hitam?” katanya.
Mengenai cerita dia bercinta dengan dua lelaki dalam waktu sama, Mardiana mengatakan, sebenarnya orang yang dimaksudkan itu adalah bekas kekasihnya, Iskandar yang juga rakan Ejum.
“Waktu itu saya bercinta dengan Iskandar dan hanya kenal Ejum begitu-begitu saja. Bagaimanapun, apabila saya dan Iskandar berdepan masalah, Ejum tahu cerita.
“Ejum jadi tempat saya mengadu apabila berdepan kesusahan kerana Iskandar tidak bekerja. Saya menolong dia beli barang dapur dan menjaga ibunya yang sakit, tetapi dia tidak pernah menghargai saya,” katanya.
Kata Mardiana, Ejum pernah menegur Iskandar, terutama apabila dia bertindak melampaui batas dengan menderanya. Dia juga tahu penderitaan dirasainya apabila menangis setiap hari, makan hati sehingga berat badan menyusut.
“Kerana sayangkan Iskandar, saya tetap bertahan hinggalah saya membuat keputusan meninggalkannya, Oktober lalu. Ketika itu Ejum hadir dalam hidup saya,” katanya.
Mardiana juga menafikan statusnya masih isteri orang sebagaimana didakwa kerana dia bercerai pada 2009. Dia juga mahu membetulkan kenyataan disiarkan satu portal hiburan menyatakan dia ke mahkamah syariah untuk mengambil surat cerai kekasihnya.
“Cerita sebenar, saya ke Mahkamah Syariah Kajang kerana mahu mengambil surat perceraian saya kerana saya dan Ejum merancang bernikah pertengahan tahun depan. Saya diceraikan di situ dan ia tiada kena mengena dengan Ejum.
“Perancangan untuk bernikah bersama Ejum juga dibuat selepas peguamnya menyatakan tidak ada masalah untuk saya dan Ejum bernikah tahun depan disebabkan kesalahan dilakukan isterinya dan masalah (perceraian) mereka akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya.
Mengenai kerjaya lakonannya mungkin terjejas disebabkan kontroversi yang timbul, Mardiana akui langsung tidak berasa bimbang memandangkan tumpuannya sekarang terhadap perniagaan diusahakan lebih lima tahun lalu.
Katanya, dia kini tidak meletakkan dirinya sebagai pelakon tetapi usahawan. Tumpuannya kini kepada perniagaan diusahakan dan lakonan dianggap sebagai hobi.
“Kalau ada tawaran, saya akan tengok betul-betul dan paling penting, bayarannya setimpal dengan kerja,” katanya, lapor Hmetro.
Post a Comment