TSUMAWI! Satu istilah yang secara tiba-tiba wujud dan mengingatkan kembali zaman kegemilangan figura bernama Mawi sewaktu zaman Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) sehingga menjadi satu fenomena dalam arus dunia hiburan tanah air.
Siapa sangka anak jati Kulai, Johor itu mampu mengubah nasib menjadi penyanyi yang digilai ramai sehingga mendominasi industri hiburan tanah air pada ketika itu.
ARTIKEL MENARIK:Suami Bunga Citra Lestari Disyaki Seleweng Wang Milik Syarikat Bersama Bekas Isteri Berjumlah RM1.7 Juta
Namun kemasyhuran dinikmati berakhir selepas beberapa tahun berikutan timbul bermacam-macam kontroversi yang menggugat reputasinya selaku bakat sensasi berimej islamik.
Memburukkan lagi keadaan apabila dia berdepan pengalaman mistik yang membuatkan dia terpaksa berehat daripada industri seni sekitar 10 tahun lalu.
Selepas melalui pelbagai ujian, Mawi atau nama lengkapnya, Asmawi Ani kini lebih selesa mengatur karier di gelanggang perfileman.
Bukan lakonan menjadi fokus, namun Mawi memilih untuk duduk di kerusi pengarah sehingga berjaya menghasilkan tiga naskhah bawah syarikat produksi sendiri, Mawi World Entertainment.
Mawi kini dalam proses untuk mendokumentasikan kisah dirinya sendiri ke layak perak. | Foto: AFIQ RAZALI
“Seingat saya selepas ‘hidup’ balik pada 2015, datang rasa suka saya nak buat filem. Sebelum itu memang saya tak peduli dan fokus nyanyian,” katanya membuka bicara.
Meneruskan perbualan, penyanyi berusia 40 tahun itu turut memaklumkan kini dalam proses menghasilkan kisah hidup sendiri di layar perak.
Katanya, pengisian filem tersebut nanti mengupas keadaan dirinya semasa mengalami penyakit misteri yang disifatkan bagai mati hidup semula.
“Kalau cerita mengenai kisah selepas AF, saya tidak rasa mahu filemkan pun tetapi kalau orang lain berminat, saya okey.
“Cuma sekarang saya ada menulis satu cerita yang lebih baik untuk dikongsikan iaitu tentang mati hidup semula.
“Saya pernah berjanji nak tulis kisah begitu ketika nazak dahulu. Sekarang tengah tulis dalam 50 peratus dan tiada perancangan lagi bila akan keluar,” ujarnya.
Selepas berhadapan sakitnya sebuah kehidupan, Mawi akui belajar suatu perkara semasa mencipta populariti dan ketika dicemuh ramai akibat kisah putus tunangnya bersama Ina Naim.
“Saya diberi dua pengalaman berbeza. Pada 2005 saya diberi kemasyhuran kemudian ditukar kepada kebencian.
“Apa saya belajar adalah bagaimana untuk berhadapan semua itu. Saya pun tak sangka akan dijulang sebegitu dahulu.
“Benda itu sangat ‘sedar’ dan sentiasa dalam ingatan saya. Saya boleh imbas kembali satu demi satu apa jadi,” tuturnya yang kini turut bergelar penyampai radio Zayyan.
Bertukar nada perbualan, Mawi mula menceritakan detik-detik ketika berhadapan penyakit misteri sehingga berjaya menemukan jalan keluar.
Banyak dosa
“Macam-macam saya nampak ketika itu, termasuk hari kiamat. Saya tidak berani nak cakap siapa yang buat kerana tiada bukti.
“Ada juga seorang pak cik yang rawat saya meminta untuk elak bersangka buruk. Dia suruh saya amalkan zikir penghapus dosa.
“Dia cakap, sebut ‘subhanallah’ tak cukup, kena sebut ‘aku banyak dosa’ banyak kali. Saya banyak dosa, jadi saya belajar. Saya mengharapkan pengampunan Tuhan,” kongsinya.
Pernah menjadi satu fenomena besar suatu ketika dahulu, Mawi kini hidup lebih tenang dan menjalani kehidupan seperti orang kebanyakan.
Tidak hanya mahu memfilemkan fasa hidup mati semula, pelantun lagu Aduh Saliha itu turut memasukkan fasa berdepan episod hilang kewarasan sekitar sembilan tahun lalu.
“Sebelum mati hidup semula, saya macam orang gila. Lama juga saya berhadapan penyakit tersebut.
“Itu pun saya akan masukkan dalam filem nanti,” katanya penuh harapan.
Dikecam, dihina
Ditanya tentang ingatan ramai yang masih mengimbau kisah putus tunang bersama Ina Naim satu ketika dahulu, ini respons Mawi.
“Dikecam tentang kisah lama, itu sangat kecil bagi saya sebab fasa mati hidup semula paling ‘gila’ dalam hidup.
“Sebab itu saya tidak fokus sangat apabila orang ungkit cerita itu. Kita juga kena faham semuanya takdir Allah.
“Kalau faham, kita akan duduk dengan tenang dan reda apa yang terjadi. Kita pun tidak sempurna tetap ada buat salah termasuk saya,” ujarnya.
Dalam masa sama, Mawi turut meninggalkan nasihat untuk merujuk kembali kisah-kisah Nabi ditimpa musibah untuk dijadikan teladan.
“Kalau rasa ujian kita besar, cuba tengok balik kisah 25 nabi dan ujian mereka. Itu adalah rujukan terbaik.
“Kalau ada masalah, baca kisah nabi dan insya-Allah diberi kekuatan untuk berhadapan ujian,” jelasnya.
Bangkit dalam acuan sendiri, semangat Mawi terhadap bidang perfileman dapat dilihat menerusi filem Zim Zim Ala Kazim yang sudah menemui penonton bermula 13 Jun lalu.
Tidak letih menggali dunia seni, Mawi terus menggiatkan langkah sebagai pengarah menerusi filem terbaharu, Zim Zim Ala Kazim.
“Sebanyak 80 peratus filem itu terisi dengan kisah benar tentang Ustaz Kazim, selebihnya saya ada tokok tambah untuk penceritaan lebih menarik.
“Ini cabaran paling besar buat saya kerana peminat Ustaz Kazim kebanyakannya terdiri daripada geng surau dan masjid yang suka dengar ceramah agama.
“Saya banyak bercampur pelbagai golongan masyarakat termasuk orang surau dan masjid, memang ada antara mereka anggap panggung wayang itu tempat maksiat.
“Saya tidak tolak mentah-mentah kenyataan atau cara mereka berfikir tetapi sebaliknya ligat fikir bagaimana nak mengajak geng surau atau masjid ini tengok wayang,” katanya.
Zim Zim Ala Kazim mengisahkan penyakit misteri dan gangguan sihir yang dilalui Ustaz Kazim tetapi diselitkan unsur komedi.
Kredit -Kosmo Digital
Post a Comment