PETALING JAYA – Biarpun mengambil pakej Perkhidmatan Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang mahal sehingga mencecah RM200,000, rata-rata jemaah akan tetap berdepan dengan situasi sukar ketika menunaikan haji.
Menerusi ciapan X oleh Yusri Jamal, dia berkongsi pengalamannya ketika menunaikan haji dan memberitahu tiada beza antara pakej mahal dan murah sewaktu melaksanakan ibadah wukuf di Arafah serta mabit di Muzdalifah dan Mina.
ARTIKEL MENARIK:Keluarga Zayn Rayyan Buat Laporan Polis Penyebaran Konon ‘Fakta Kes’ Dari Telegram Edisi Siasat
“Jemaah akan bersesak tidur bersebelahan dengan orang sebelah, katil tak cukup, bas lambat, jalan tutup, beratur panjang dan juga pernah berlaku khemah terbakar.”
“Seorang mutawif pernah mengatakan kepada saya bahawa itu semua adalah sebahagian daripada ujian haji kerana rata-rata mereka yang mengambil pakej mahal sering mendapat dugaan yang tak disangka,” katanya.
Tambahnya, pada malam pertama di Mina, terdapat jemaah yang mahu kembali ke Tanah Suci disebabkan pelbagai masalah yang dihadapi ketika tiba di Arafah, namun muncul pula dugaan lain menimpa mereka.
“Dalam perjalanan pulang ke Mekah, ditakdirkan bas tak boleh masuk ke kawasan Mina, jadi kami perlu mendaki sejam merentasi dua terowong sejauh tiga kilometer dan menaiki bukit.
“Terdapat jemaah yang mengalami kekejangan otot dan terpaksa menaiki kerusi roda. Mungkin ini kifarat atas sebab melarikan diri daripada kesusahan.
“Pada malam kedua, semua reda tidur di Mina. Ada yang tidur di tepi kaki lima, atas kerusi, dan pelbagai posisi lagi, tiada lagi jemaah yang merungut. Begitulah tarbiyyah Mina.
Bagaimanapun, bagi Yusri, dia berasa seronok kerana sudah biasa bermabit, tidur berlaga bahu dan beratur menunggu bilik air malah sebagai seorang yang mempunyai personaliti ekstrovert, dia bertenaga dikelilingi ramai orang.
Tambahnya, dia pada mulanya tidak mahu mengambil pakej itu kerana mahukan pengalaman sebenar menunaikan haji, namun perlu mengiring ibunya yang memerlukan keselesaan pada waktu itu. – KOSMO! ONLINE
Kredit -Kosmo Digital
Post a Comment