KUALA TERENGGANU, 22 Zulhijjah 1444H, Selasa – Sebuah beg sandang jenama Gregory berisi wang dan dokumen penting dipercayai milik Karim Abdullah, 39, mangsa tragedi kepala air Jeram Air Putih, Kemaman ditemukan pasukan pencarian, semalam.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Hanyan Ramlan berkata, turut ditemukan dalam beg sandang hitam itu ialah tanda nama “Fatin” dipercayai milik Putri Nor Fatin Karim, 14, iaitu satu-satunya mangsa yang masih hilang, selain wang tunai sebanyak RM1,279, kad perkahwinan, jam tangan, telefon bimbit dan seutas kalung.
ARTIKEL MENARIK:[VIDEO] Seorang maut, lima parah kemalangan 10 motosikal di Lekas
Beliau berkata, beg itu ditemukan di tebing pasir pada jarak dua kilometer dari lokasi kejadian pada 12 tengah hari semalam.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat satu beg duit di dalamnya jenama Michael Kors berwarna hitam yang mengandungi pelbagai dokumen peribadi dan barangan berharga milik mangsa, antaranya kad pengenalan dan MyKid (anak-anak) dan beberapa keping kad bank,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, barangan itu akan diserahkan kepada waris mangsa dalam masa terdekat.
Pada 1 Julai lepas, Karim dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta tujuh anak mereka dari Felda Lepar Hilir 3, Kuantan, Pahang pergi berkelah ke jeram berkenaan yang turut disertai Muhammad Fikri Saliman, 24, dari Batu Pahat, Johor.
Kesemua mereka dipercayai dihanyutkan arus deras kepala air dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan polis keesokkan harinya selepas penemuan mayat Azizah yang terapung dibawa arus sungai sejauh 24 km dari lokasi kejadian dan anaknya, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, dua km dari lokasi kejadian.
Setelah seminggu pencarian, sembilan mayat ditemukan dan telah selamat dikebumikan, namun Putri Nor Fatin masih belum dikesan hingga kini.
Operasi SAR diteruskan dengan skala lebih kecil dan secara pemantauan harian oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheneh dan BBP Chukai serta agensi penyelamat yang lain. – Bernama
Kredit -
Post a Comment