Teluk Intan: Alah bisa tegal biasa. Peribahasa yang sangat sesuai menggambarkan kecekalan Mohamad Zulkarnain Mustafa yang berstatus orang kurang upaya (OKU) lumpuh, atas kegigihannya mencari rezeki dengan membaiki motosikal.
Ini kerana pemuda berusia 27 tahun itu membaiki jentera dua roda itu dengan hanya berbaring di katil selepas pergerakan yang terbatas akibat lumpuh daripada paras pinggang.
ARTIKEL MENARIK:Isu Rohingya: Jangan sampai hak rakyat Malaysia dirampas
Fizikalnya sudah tidak sempurna seperti lapan tahun lalu dan Mohamad Zulkarnain membaiki motosikal di hadapan rumah keluarganya di Parit 2/6R Labu Kubung, Chenderong Balai, di sini dengan dibantu adik bongsunya, Mohamad Hazarul Nizam, 13.
Menurut Mohamad Zulkarnain, dia lumpuh separuh badan selepas terbabit kemalangan ketika pulang daripada kerja sebagai pembantu gerai pasar malam pada 2015.
Katanya, kejadian itu mengubah sepenuhnya kehidupannya yang ketika itu baru berusia 19 tahun dan ligat membantu meringankan beban ibu bapanya.
"Selain kerja di gerai ayam goreng di pasar malam, saya juga membuka bengkel membaiki motosikal di rumah secara sambilan tetapi kemalangan itu menyebabkan saya tidak boleh berjalan.
"Selama setahun saya berehat untuk kembali pulih sepenuhnya dan selepas itu barulah saya teruskan minat membaiki motosikal biarpun pergerakan sudah tidak lincah seperti dulu," kata anak sulung daripada lima beradik itu.
Mohamad Zulkarnain berkata, keadaan fizikalnya ketika ini mengehadkan pergerakannya dan dia juga tidak boleh duduk atas kerusi roda melebihi dua jam kerana perut akan senak dan sakit.
Apabila dia mahu membaiki motosikal pelanggan, keluarganya akan menolak katil ke depan rumah dan di situ Mohamad Zulkarnain membaiki motosikal dari atas katil itu.
Malah katil itu sahaja satu-satunya tempat tidur yang pemuda itu ada.
"Saya lebih selesa buat kerja dengan cara berbaring, kalau duduk di kerusi roda agak sukar sedikit. Saya tetap mahu jadi mekanik kerana minat selain tidak mahu kemahiran yang ada terkubur begitu saja.
"Selain itu, saya mahu berdikari serta tidak mahu duduk saja kerana bosan juga dan ini membantu emosi kerana saya buat kerja yang disukai, malah rasa lebih sihat daripada terbaring saja," katanya.
Bercerita lanjut, Mohamad Zulkarnain berkata, adiknya Mohamad Hazarul Nizam akan membantu dia membuka bahagian motosikal untuk dibaiki, memasangnya semula dan menukar tayar, rantai dan minyak hitam.
Sementara dia pula hanya membaiki enjin serta berkongsi ilmu pembaikan dengan adiknya.
"Sebelum enjin atau bahagian motosikal dibawa ke katil, ia akan dibersihkan sedikit dahulu supaya tidak terlalu kotor. Banyak kerja akan dibantu adik dan dia ibarat kaki dan tangan saya.
"Untuk bahagian yang tidak dapat dibuka, saya akan sengetkan sedikit badan tetapi pergerakan memang terbatas dan ada bahagian yang tidak dapat dicapai dengan tangan," katanya yang juga penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.
Katanya, tempoh membaiki motosikal tidak tentu kerana bergantung kerosakan, namun dia mengakui masa yang diambil mungkin lebih sedikit disebabkan keadaannya, namun situasi itu difahami pelanggan.
Dia turut menyimpan impian untuk membina bengkel yang lebih sempurna di tepi rumah dengan sokongan ibu bapa, Mustafa Hamid, 53, dan Zarina Ahmad, 47.
"Tak banyak motosikal yang dibaiki. Adalah sebuah atau dua saja untuk sebulan kerana kami tinggal di kampung dan di sini juga ada bengkel lain.
"Tetapi bersyukur juga ada kawan dan orang kampung sudi hantar motosikal mereka kepada kami dan saya tetap gembira dengan rezeki ini biarpun pendapatan tidak seberapa," katanya.
Orang ramai yang mahu mendapatkan khidmat Mohamad Zulkarnain boleh menghubungi talian 013-8065391.
Kredit -hmetro
Post a Comment