BALING – Pasangan suami isteri maut manakala anak mereka cedera dalam kemalangan di Kilometer 41.02 Jalan Baru Kulim – Baling di sini, malam tadi.
Kejadian jam 10.15 malam itu menyebabkan pemandu van, Saiful Azmi Mohd Razali, 35 maut di lokasi kejadian dan isterinya, Sailulhayati Mat Isa, 36, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Kulim.
ARTIKEL MENARIK:Najib sendiri penyebab gagal rayuannya, tiada unsur ketidakadilan
Anak pasangan tersebut, Amar Rizqi berusia dua tahun yang mengalami kecederaan di kepala serta kulit tangan kiri terbakar dikejarkan ke hospital sama untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, hasil siasatan mendapati van jenis Nissan yang dinaiki tiga beranak itu dari arah Baling menghala ke Kulim dipercayai telah hilang kawalan sebelum terlanggar tembok jambatan di bahagian kiri.
Katanya, pelanggaran itu menyebabkan van berpusing dan sebuah pacuan empat roda jenis Isuzu dipandu seorang guru lelaki yang berada di belakang van tersebut tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian hadapan kenderaan tersebut.
“Akibat daripada kemalangan itu pemandu van dan penumpang hadapan yang merupakan isterinya maut manakala anak mereka berada di tempat duduk penumpang belakang mengalami kecederaan.
“Selain itu, pemandu pacuan empat roda itu turut mengalami kecederaan di bahagian muka dikejarkan ke Hopsital Kulim untuk rawatan lanjut.
“Mayat pasangan berkenaan akan dibedah siasat pagi ini di hospital sama,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Shamsudin, siasatan awal mendapati kemalangan ini berpunca daripada kecuaian pemandu van tersebut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengakutan Jalan 1987,” kata beliau. – MalaysiaGazette
Kredit -malaysiagazette
Post a Comment