KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terus lantang menyuarakan isu pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Dewan Rakyat pada Rabu.
Ismail Sabri terus mendesak kerajaan mempertimbangkan pengeluaran KWSP secara bersasar, kepada yang layak.
ARTIKEL MENARIK:Saman jika letak lori, kenderaan berat dalam kawasan taman perumahan
Mengambil contoh individu bergaji RM2,000 sebulan, Ismail Sabri berkata, selepas 10 tahun, jumlah simpanan mencecah RM50,000 dan tidak akan habis jika dikeluarkan sedikit.
Kenyataan beliau disambut Mohd Syahir Che Sulaiman (PN – Bachok) yang menegaskan impak pengeluaran KWSP secara bersasar sangat besar kepada pemulihan ekonomi dan dapat membantu golongan rentan.
Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH – Kuala Selangor) turut bangun, menyatakan kerajaan perlu membenarkan pengeluaran sebegitu kerana ia antara cara membantu rakyat yang terkesan.
Semua persoalan itu kemudian dijawab Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan semasa sesi menjawab perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja itu.
“Saya kira dalam Bajet 2023 pada Jumaat ini, seperti mana dijanjikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa ada kaedah-kaedah lain untuk membantu pada kumpulan ini.
“Mereka yang layak itu sebenarnya mereka tak mahu keluarkan pun (wang KWSP), apabila kita lihat pada angka-angka itu (jumlah KWSP dalam akaun pengguna). Yang masalahnya yang sedikit (jumlah wang KWSP) itu, makin sedikit pengeluarannya.
“Walaupun mereka akan ada gaji tapi struktur gaji di Malaysia, strukturnya ialah gajinya rendah itu masalah struktur negara kita.
“Pada masa sama, kita ingin pastikan rakyat berpendapatan tinggi, maka KWSP mereka merentas kaum juga tinggi dan ini antara perkara utama yang kita akan lakukan,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.
Tambah Ahmad, tahap simpanan ahli KWSP telah menyusut dengan ketara akibat empat pengeluaran sebelum ini.
Kredit -
Post a Comment