BANGI, 10 Jamadilakhir 1444H, Selasa – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mempertahankan pendirian dengan keputusan menamatkan semua lesen premis judi dan loteri di negeri itu.
Tegas beliau, perjudian bukan hanya isu satu kaum sahaja sebaliknya mampu merosakkan semua kaum di negara ini.
ARTIKEL MENARIK:Rakyat ucap tahniah kerajaan stabilkan harga khinzir
“Kita takkan ada pertimbangan semula, ini bukan isu satu kaum sahaja… Judi merosakkan semua kaum.
“Judi tak pernah jadi alat membentuk keharmonian kaum,” katanya seperti dilapor Astro Awani, hari ini.
Sebelum ini, Setiausaha DAP Kedah, Teh Swee Leong menggesa supaya kerajaan negeri mempertimbangkan semula langkah tidak membenarkan premis perjudian dan loteri beroperasi di negeri itu bermula tahun ini.
Swee Leong berkata, langkah itu wajar dipertimbangkan untuk mengekalkan keharmonian kaum dan mengawal masalah sosial.
Muhammad Sanusi bagaimanapun meminta Swee Leong terlebih dahulu memberikan bukti aktiviti perjudian mampu membentuk keharmonian kaum.
Katanya, keharmonian kaum hanya boleh dibentuk dan dicapai melalui integrasi di sekolah, aktiviti sukan, silang seni budaya, bahasa pertuturan yang sama dan lain-lain.
“Suruh dia buktikan judi boleh bentuk keharmonian kaum,” katanya.
Terdahulu, pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Kedah diarah untuk memantau dan memastikan semua premis perjudian dan loteri di negeri ini mematuhi arahan penutupan sepenuhnya bermula 1 Januari 2023.
Semua lesen premis tersebut tidak lagi diperbaharui dan tamat tempoh pada 31 Disember 2022 dan perkara berkenaan selaras dengan keputusan yang diputuskan semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 14 November 2021.
Kredit -
Post a Comment