BEIJING – Pemerintah China memutuskan untuk melonggarkan sekatan sebagai sebahagian daripada dasar sifar Covid-19, dengan Beijing membenarkan orang yang dijangkiti menjalani kuarantin di rumah, lapor laman berita Wion News kelmarin.
Salah satu daerah yang paling padat penduduk di Beijing iaitu Chaoyang akan menjadi yang pertama menguji perubahan tersebut. Menurut laporan Bloomberg, individu yang dijangkiti tidak perlu lagi dipindahkan ke tapak kuarantin pemerintah.
ARTIKEL MENARIK:Empat pelajar mati ditikam, rakan sebilik bukan suspek
Ia akan menjadi satu langkah besar yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa selepas bandar Guangzhou dan Chongqing mengumumkan pelonggaran sekatan susulan gelombang protes yang meluas.
Beberapa hari kebelakangan ini, banyak bandar menyaksikan lonjakan protes oleh penduduk yang menentang sekatan baharu, manakala sebahagiannya bertukar ganas termasuk di Guangzhou apabila polis bertempur dengan penunjuk perasaan.
Demonstrasi yang tercetus itu turut menerima tindak balas Amerika Syarikat (AS) dan Kanada yang menggesa China untuk tidak menggunakan sebarang jenis kekerasan terhadap penunjuk perasaan.
Peraturan baharu akan membenarkan orang ramai menjalani kuarantin di rumah selepas mereka menandatangani sepucuk surat dengan syarat tidak akan keluar semasa tempoh tersebut, selain pengimbas dipasang pada pintu rumah mereka.
Bagaimanapun, kelonggaran sementara akan diberikan kepada warga emas dan wanita hamil yang sukar untuk mengunjungi kemudahan kesihatan.
Jumlah kes Covid-19 di Beijing terus meningkat ketika perubahan itu diumumkan. Pada Rabu lalu, ibu negara China itu merekodkan 5,006 kes iaitu antara yang paling banyak dalam tempoh terdekat.
Timbalan Perdana Menteri, Sun Chunlan ketika menemui pegawai-pegawai kesihatan kebangsaan berkata, China berada dalam ‘peringkat dan misi baharu’ kerana pemerintah mungkin akan mengubah sedikit dasar mengenai isu Covid-19. – AFP
Kredit -Kosmo Digital.
Post a Comment