LIPIS – Tanpa sebarang pengakuan, seorang penganggur hanya mengangguk faham sebaik sahaja pertuduhan membunuh ibu dan bapa kandungnya dibaca di hadapan Majistret Siti Aisyah Ahmad.
Dia yang dihadapkan di Mahkamah Majistret Lipis hari ini berhadapan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan melakukan jenayah tersebut di Kampung Kemahang 4 Oktober lalu.
ARTIKEL MENARIK:Suri rumah didakwa peras ugut suami, ambil wang RM13,000
Mengikut pertuduhan pertama pada tarikh tersebut antara jam 11 malam hingga 12 malam tertuduh, Ahmad Hafizuddin Mohammad, 31, telah membunuh Mohamad Maasai, 68, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kemahang, Benta di sini.
Bagi pertuduhan kedua pula pada tarikh yang sama antara jam 11 malam hingga 12 malam, tertuduh didakwa membunuh Zailan Zainudin, 64, di lokasi yang sama.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Muhairi Mohamad Noh manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu Muhammad Muhairi meminta tertuduh dirujuk ke hospital psiakiatri bagi menjalani ujian mental dan memohon mahkamah tidak memberikan jaminan terhadap tertuduh.
Siti Aisyah kemudiannya memerintahkan tertuduh dibawa menjalani pemeriksaan di Hospital Permai, Johor Bharu selama sebulan mengikut Seksyen 342 (5) Kanun Tatatacara Jenayah.
Mahkamah kemudian menetapkan 11 November depan bagi sebutan semula kes.
Media baru-baru ini melaporkan tertuduh menetak kedua ibu bapanya bertubi-tubi serta mengelar leher mangsa menggunakan sebilah parang di sebuah rumah di Kampung Kemahang di Benta.
Difahamkan tertuduh yang memiliki kelulusan diploma kejuruteraan mekanikal pernah bekerja di Genting Highlands sebelum berhenti akibat penularan wabak Covid-19.
Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, semasa kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu pasangan suami isteri berkenaan sedang berbual dengan suspek di dalam rumah mengenai ilmu ketuhanan.
Katanya, ujian saringan terhadap suspek mendapati anak bongsu daripada dua beradik itu positif dadah jenis methamphetamine. – MalaysiaGazette
Post a Comment